KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan dua program titik sentuh iaitu 'Temu DBKL' dan 'Teh Hijau Kuala Lumpur' sepanjang tahun ini bagi merapatkan lagi hubungan agensi itu dengan warga kota.

Pelaksanaan kedua-dua acara juga merupakan program turun padang 25 jabatan di bawah DBKL sebagai pendekatan meningkatkan kualiti penyampaian agensi itu kepada warga kota.

Temu DBKL akan diadakan di kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur secara bergilir-gilir pada minggu ke-4 setiap bulan manakala Teh Hijau Kuala Lumpur adalah program penerapan elemen hijau pada Sabtu kedua setiap bulan di lokasi tetap iaitu Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Edisi pertama Temu DBKL dan Teh Hijau Kuala Lumpur diadakan serentak semalam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata program itu adalah satu inisiatif 'outreach' yang patut diberikan pujian.

"Program ini juga akan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman warga kota mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBKL secara lebih meluas selain meningkatkan kepercayaan mereka terhadap agensi itu melalui penyampaian perkhidmatan secara terus serta bersasar kepada komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu di sini semalam.

Program itu turut melibatkan rakan strategik DBKL seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Radio Televisyen Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Yayasan Wilayah Persekutuan Media (YWP Media) dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

-- BERNAMA