BATU PAHAT: Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan terus mempergiat Program Ziarah Kasih MADANI bagi mengenal pasti individu dan keluarga dalam komuniti yang memerlukan bantuan atau perhatian khusus.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Komuniti MADANI di seluruh negara bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih menyeluruh kepada kumpulan sasar.
“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan di JAPEN akan meneruskan Program Ziarah Kasih ke mana-mana sahaja kita pergi dengan kerjasama, termasuk bersama Komuniti MADANI untuk mengenal pasti kes-kes dalam komuniti yang mungkin memerlukan bantuan ataupun perhatian.
“Saya berharap kita akan dapat membantu keluarga-keluarga ini dengan lebih menyeluruh selepas ini, insya-Allah,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan Program Ziarah Kasih MADANI, di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi meluangkan masa menziarahi dua keluarga yang berdepan cabaran hidup, iaitu pesakit strok Radzali Jabit, 60, di Kampung Sungai Lurus, serta suri rumah Siti Aisyah Udin, 43, yang menjaga tiga anak menghidap talasemia di kawasan perumahan di Lorong Bunga Siantan.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata lawatan itu dibuat bagi meneliti sendiri keadaan kedua-dua keluarga berkenaan selaras dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya anggota Jemaah Menteri turun padang memahami situasi sebenar yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata hasil lawatan itu mendapati terdapat ruang untuk pelbagai agensi membantu kedua-dua keluarga berkenaan, termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Agama Islam dan Baitulmal.
“Selain itu, dalam kes Puan Aisyah bantuan (diberikan) untuk meningkatkan tahap kemahiran beliau supaya mampu menjana pendapatan yang lebih untuk keluarganya,” katanya.
Program Ziarah Kasih MADANI ialah inisiatif turun padang yang digerakkan oleh JAPEN bagi menyantuni golongan memerlukan, di samping mengenal pasti isu dan keperluan sebenar masyarakat melalui kerjasama Komuniti MADANI pada peringkat akar umbi.
Program itu turut menjadi platform untuk menghubungkan penerima yang layak dengan agensi berkaitan bagi membolehkan bantuan dan intervensi disalurkan secara lebih berkesan.
-- BERNAMA