Projek baik pulih cerun VHF perkukuh keselamatan infrastruktur negara

Marhalim (dua dari kiri) memberi penerangan ringkas kepada Alexander (tengah) pada Majlis Penyerahan Pembaikan Cerun di Laluan Very High Frequency (VHF) Telapak Buruk di Dataran Bukit Tangga pada Rabu - Foto Pintas Utama
KUALA LUMPUR: Projek pembaikan cerun berskala besar di laluan Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) Telapak Buruk, Jelebu, merupakan antara langkah strategik kerajaan dalam memastikan keselamatan infrastruktur kritikal negara serta kelangsungan akses teknikal, termasuk di kawasan pedalaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Sdn. Bhd., Datuk Marhalim Mohamed berkata, syarikat itu sebagai kontraktor utama bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun di sepanjang laluan berkenaan bagi mengurangkan risiko tanah runtuh, selain memastikan akses penyelenggaraan ke kemudahan komunikasi dapat diteruskan dengan selamat.
Jelas beliau, kegagalan menangani risiko cerun di kawasan tersebut bukan sekadar melibatkan isu teknikal, malah berpotensi mencetuskan kesan berantai yang besar terhadap sistem komunikasi keselamatan serta rangkaian digital tempatan.
"Sekiranya cerun berisiko tinggi di sepanjang laluan ini tidak dikenal pasti dan ditangani, ia boleh mewujudkan kesan domino dengan implikasi langsung kepada sistem komunikasi keselamatan serta rangkaian digital setempat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Projek berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang turut mengadakan lawatan rasmi ke beberapa lokasi cerun yang telah siap dibaik pulih di sepanjang laluan VHF, selain meninjau kaedah pembaikan cerun yang dilaksanakan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Alexander merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pintas Utama atas pelaksanaan tanggungjawab yang cekap, berkesan dan berdisiplin.
"Syabas dan terima kasih kepada kontraktor Pintas Utama atas komitmen tinggi serta usaha berterusan memastikan projek ini disiapkan mengikut piawaian dan tempoh masa yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Marhalim menambah, kegagalan cerun boleh menjejaskan akses penyelenggaraan ke menara komunikasi, sekali gus menyebabkan kos pemulihan yang tidak dijangka serta gangguan kepada perkhidmatan digital kritikal yang menjadi nadi kepada ekonomi dan komuniti setempat.
Projek pembaikan cerun itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula 24 November 2022 dan siap sepenuhnya pada 14 Oktober 2025 dengan kos keseluruhan berjumlah RM109 juta.
Ia melibatkan 36 Arahan Kerja merangkumi 124 lokasi di sepanjang jajaran sejauh 11 kilometer, melibatkan cerun berisiko tinggi, sederhana dan rendah.
Majlis penyerahan projek hari ini turut mencerminkan komitmen berterusan JKR Negeri Sembilan dan Daerah Seremban bersama kontraktor Pintas Utama dalam mengutamakan keselamatan infrastruktur cerun di lokasi-lokasi strategik yang penting kepada ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


