Projek jalan dan jambatan baharu Jerantut-Lipis siap awal, legakan penduduk

Dengan adanya laluan baharu, jarak perjalanan yang dahulunya sejauh 60km dan memakan masa hampir sejam kini hanya mengambil masa 15 minit dengan jarak 17km - Foto MISB
KUALA LUMPUR: Penduduk di sekitar Jerantut dan Lipis kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan jalan dan jambatan baharu yang menghubungkan kedua-dua daerah itu siap lebih awal daripada jadual asal, sekali gus menamatkan penantian panjang terhadap laluan yang lebih selesa, selamat dan cepat.
Projek berimpak tinggi itu bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan, malah membuka peluang baharu dalam bidang keusahawanan, pelancongan serta pembangunan ekonomi desa yang sekian lama diidamkan penduduk setempat.
Menang Idaman Sdn Bhd (MISB), selaku kontraktor lantikan projek berkenaan dalam kenyataan memaklumkan pembinaan jalan dan jambatan itu dapat menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela, Kuala Lipis.
"Pembinaan projek itu membawa pelbagai manfaat, termasuk memendekkan jarak perjalanan daripada 60 kilometer (km) yang memakan masa satu jam perjalanan kepada hanya 17km dan masa perjalanan selama 15 minit, selain turut mempertingkatkan aspek keselamatan penduduk yang menggunakan laluan itu," menurut syarikat itu.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchur, Roslan Idris, berkata projek tersebut amat dinanti-nantikan penduduk kerana ia memudahkan akses ke bandar bagi urusan pendidikan, kesihatan dan pekerjaan.
"Kami bersyukur kerana projek ini akhirnya siap. Ia bukan sekadar jalan, tetapi nadi baharu yang merapatkan jurang pembangunan luar bandar dengan bandar," ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Batu Balak, Jerantut, Mohd Johari Umar, berkata pembinaan tersebut bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi desa.
Pengarah MISB, Mohd Tarmizi Mohd Zuki dalam kenyataan sama pula menambah pihaknya sebagai kontaktor lantikan projek itu menghadapi beberapa cabaran, termasuk jambatan sementara yang runtuh tiga kali akibat bencana alam.
Bagaimanapun, beliau berkata syarikat tetap komited meneruskan pembinaan dengan tekun serta mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan jambatan sebenar lebih kukuh, selamat dan bermanfaat kepada orang ramai.
Projek tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Pembinaan tersebut urut mewujudkan laluan strategik pelancongan yang menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dengan Cameron Highlands melalui Kuala Lipis, sekali gus membuka peluang baharu bagi perancangan pembangunan wilayah pada masa akan datang.
Projek itu diselia oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana, dan telah dibuka kepada penduduk pada 31 Ogos lalu, lebih awal daripada jadual asal pertengahan September.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami