KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein memberi jaminan tiada perkara yang disembunyikan berhubung projek perolehan Littoral Combat Ship (LCS) yang tergendala ketika ini.

Jelasnya, beliau bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan akan menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi penjelasan terperinci berkaitan LCS.

"Saya juga faham, ramai yang ingin tahu hala tuju projek-projek tergendala. Pertama perolehan Littoral Combat Ship (LCS).

"Ini sememangnya menjadi keutamaan saya sejak hari pertama masuk ke Mindef. Selaras dengan agenda Kertas Putih Pertahanan, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan end user kita iaitu TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia).

"Perancangan ke hadapan adalah menyediakan opsyen Pelan Pemulihan Projek LCS, mengadakan perbincangan bersama MoF dan perbentangan kepada kerajaan pelan pemulihan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri," jelasnya jelasnya ketika ditemui di majlis Amanat Menteri Kanan Pertahanan di Kem Sungai Besi di sini pada Isnin.

Hishammuddin turut memberi jaminan bahawa tiada apa yang disembunyikan.

"Saya bersama KSU juga akan menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak lama lagi bagi menjelaskan secara terperinci perancangan kita berkaitan LCS.

"Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, ujar Hishammuddin, kegagalan meneruskan projek perolehan itu bukan hanya memberi impak negatif kepada keselamatan dan kedaulatan negara, sebaliknya turut memberi kesan domino kepada rantaian ekonomi apabila 400 firma tempatan dengan lebih 8,000 pekerja terjejas.

"Lebih merisaukan saya adalah kegagalan projek ini akhirnya akan menyebabkan kesusutan nilai tabung persaraan di LTAT sehingga lebih RM2 bilion.

"Sebab itu sebelum kita membiayai pemulihan projek ini, saya mahu pihak-pihak berkuasa meneruskan penyiasatan dan mengambil tindakan ke atas salah urus dan penyelewengan yang berlaku pada masa lalu yang menyebabkan projek ini gagal dilaksanakan," jelasnya.

Selain itu, tambah Hishammuddin, beliau akan meminta bantuan Perancis dalam menyelesaikan isu pembinaan LCS yang masih tergendala hingga kini.

Ujarnya, perkara itu akan dibincangan bersama rakan sejawatannya dari Perancis, Florence Parliy semasa lawatannya ke Malaysia minggu depan.