Projek naik taraf laluan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang mula tahun depan

Anthony Loke berkata projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026 dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC). - Bernama
KUALA LUMPUR: Projek naik taraf laluan kereta api Pasir Mas-Rantau Panjang dijangka mula dilaksanakan tahun depan dengan kos keseluruhan RM264 juta, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026 dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC), dengan proses perolehan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Menurutnya pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengaktifkan semula laluan itu bagi perkhidmatan tren penumpang dan kargo, sekali gus memperkukuh hubungan rel rentas sempadan Malaysia-Thailand melalui sambungan ke Sungai Golok, Thailand.
"Projek ini dijangka dimulakan tahun depan selepas proses perolehan selesai dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kerja naik taraf bermula.
"Skop projek ini meliputi kerja tanah dan landasan, pembinaan pagar, naik taraf Stesen Pasir Mas dan Rantau Panjang serta penambahbaikan sistem semboyan dan komunikasi," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat hari ini.
Loke berkata pelaksanaan projek itu sejajar aspirasi Dasar Pengangkutan Negara 2030 (DPN 2030) yang menggalakkan penggunaan rel sebagai mod pengangkutan efisien, selamat dan mampan.
"Apabila siap kelak, laluan ini dijangka memperkasa aktiviti ekonomi sempadan, memudahkan pergerakan barangan serta pelancong, dan menjadi komponen penting dalam usaha kerajaan memperkukuh keterhubungan rel serantau di Pantai Timur," katanya.
Dalam pada itu, Loke menegaskan kerajaan tidak pernah mengetepikan keperluan pembangunan pengangkutan awam dalam menyokong mobiliti rakyat dan pertumbuhan ekonomi di Wilayah Utara serta Pantai Timur.
Katanya antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo berkapasiti tinggi yang moden serta cekap untuk manfaat rakyat Pantai Timur.
Projek ECRL merangkumi jajaran sepanjang 665 kilometer (km) dengan 20 stesen di empat negeri iaitu Kelantan (dua stesen), Terengganu (enam), Pahang (tujuh) dan Selangor (lima) yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, dan dijangka siap serta mula beroperasi pada 2027.
Loke berkata ECRL juga berperanan sebagai pemangkin ekonomi di Wilayah Pantai Timur dengan membangunkan kluster ekonomi yang mampu menyokong perniagaan tempatan serta mewujudkan pertumbuhan lebih seimbang.
"Jumlah keseluruhan kargo yang bakal dibawa melalui ECRL dianggarkan sebanyak 24.6 juta tan, bersamaan satu juta perjalanan (trip) lori 20 tan," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini RMK13 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

