MALAYSIA
Projek pembangunan: PM mahu segala isu teknikal pelbagai agensi diselesai segera

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil 1/2025 hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segala isu teknikal membabitkan pelbagai agensi kerajaan berkaitan projek pembangunan negara diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu teknikal projek pembangunan diselesaikan segera melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) agar pelaksanaan berjalan lancar.
- Kerajaan komited elak kelewatan projek dan kerenah birokrasi lama, dengan setiap dana pembangunan perlu digunakan sepenuhnya untuk rakyat.
- Kerajaan perkenal model sekolah vertikal di bandar seperti KL dan Putrajaya bagi atasi kekangan ruang dan pastikan akses pendidikan berkualiti.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri, penambahbaikan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya dan pelaksanaan sekolah vertikal di bandar utama.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata isu kelewatan projek dan kerenah pentadbiran yang diwarisi sejak era 1980-an seharusnya tidak berulang.
"Kita tidak punya ruang untuk mengulangi kegagalan yang sama. Masa tidak menunggu kita dan rakyat pula menuntut tindakan, bukan alasan," kata beliau.
Menyentuh mengenai keperluan untuk mendepani realiti pembangunan bandar yang semakin padat, Anwar berkata kerajaan komited memperkenal pendekatan baharu dalam penyediaan infrastruktur pendidikan melalui model sekolah vertikal di lokasi seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.
"Dengan dukungan pemaju swasta, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pendidikan akan bergandingan erat untuk menjayakan inisiatif ini agar akses kepada pendidikan berkualiti kekal terjamin buat anak-anak warga kota walau di tengah keterbatasan ruang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami