Susulan kejadian banjir kilat di Puchong semalam, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengharapkan orang ramai tidak mengaitkan kejadian tersebut dengan projek pembinaan laluan tambahan LRT di situ sahaja.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Prasarana, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan hujan tidak sekata dengan bacaan 68mm/jam di kawasan tersebut petang semalam berkemungkinan adalah penyebab banjir kilat yang berlaku di Puchong termasuk Pusat beli belah IOI, Setia Walk dan laluan masuk ke Bandar Puteri.

“Ini merupakan banjir kilat pertama yang terjadi di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sejak Prasarana memulakan pembinaan di LDP dua tahun lalu. Di samping itu, tiada kerja-kerja penggalian dan penimbusan dijalankan di kawasan tersebut sejak dua minggu lalu,” kata Pengurus Kanan Komunikasi dan Media Hal Ehwal Prasarana, Azhar Ghazali.

"Kami telah menyediakan saliran yang mencukupi di dalam kawasan kerja kami, tetapi apa yang berlaku semalam adalah tidak normal," katanya.

Sementara itu, kontraktor Prasarana turut membantu pihak berkuasa tempatan untuk meluruskan saluran longkang bagi memastikan aliran air hujan lebih baik sekaligus mengelakkan perkara sama berulang.