Projek pengindahan tebingan sungai siap hujung tahun ini

Projek yang menelan kos RM24 juta itu membolehkan orang ramai dan pelancong melawat ke kawasan sekitar kubu bersejarah berkenaan.

Projek pengindahan tebingan sungai dari Kampung Boyan ke kawasan Kubu Margherita di seberang Tebingan Kuching, dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini. - Bernama | Astro Awani
Projek pengindahan tebingan sungai dari Kampung Boyan ke kawasan Kubu Margherita di seberang Tebingan Kuching, dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata projek yang menelan kos RM24 juta itu membolehkan orang ramai dan pelancong melawat ke kawasan sekitar kubu bersejarah berkenaan.

"Selepas siap, kawasan (Kubu Margherita) ini akan dibuka kepada orang ramai dan pengunjung. Kita berharap rakyat Kuching dan pengunjung berbangga (melawat kawasan kubu itu) dan mengelakkan vandalisme," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek terbabit itu.

Katanya projek yang bermula pada 2017 itu membabitkan pembinaan kawasan air terjun, laluan pejalan kaki dari Kampung Boyan hingga ke Jambatan Darul Hana dan kerja naik taraf Pangkalan Sapi.

Beliau berkata projek yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, turut membabitkan pembinaan sebuah rumah tradisi 'English Tea House' yang memberi peluang orang ramai minum petang di kawasan itu.

Abdul Karim berkata projek berkenaan juga dilaksanakan kerana kawasan sekitar kubu bersejarah itu agak gelap pada waktu malam walaupun terletak bersebelahan Air Pancut Berirama Darul Hana dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

"Kerja penyiapan projek ini tergendala sedikit (disebabkan pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas. Kalau kita lihat tapak projek di tebingan sungai dan berbukit, keadaan seperti ini memang agak sukar menjalankan kerja penghantaran bahan (pembinaan ke tapak)," katanya.

Beliau berkata cuaca hujan lebih menyukarkan usaha kontraktor untuk menyiapkan kerja di kawasan berbukit curam mengikut jadual berbanding di kawasan tanah rata.

-- BERNAMA