Insiatif pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik di Kuching merupakan satu langkah tepat dalam menjadikan Kuching sebagai bandar raya pintar dan selamat.

Projek perintis ini juga penting dalam meningkatkan aspek keselamatan orang awam seterusnya membantu membanteras jenayah.

Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, insiaitif ini dianjurkan sebagai mengambil contoh daripada negara-negara maju yang menggunakan kaedah sama dalam misi menurunkan kadar jenayah secara drastik.

“Contoh terbaik dapat dilihat di China di mana kaedah sama dilakukan dan kamera-kamera ini dipasang di hampir setiap kawasan di bandar mereka.

“Saya berkesempatan mengunjungi tiga bandar besar di China dan juga sempat melawat pusat kawalan di Wuhan dan dengan sistem ini, mereka mampu mengawal setiap aktiviti yang berlaku di pusat bandar raya dan ini seterusnya mampu menurunkan kadar jenayah di sana,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, negara China akan menjadi model kepada urus tadbir digital dengan mengintegrasikan aspek keselamatan di setiap kawasan awam.

“Maka, dengan pemasangan kamera litar tertutup di beberapa kawasan ini, ia menyokong aspirasi Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam menjadikan kelangsungan pentadbiran dan kehidupan di negeri ini berlandaskan teknologi digital,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pelancaran Pemasangan Kamera Litar Tertutup di Hotel Waterfront, Kuching pada Khamis.


Sebanyak 26 unit kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Jalan India Street, Jalan Old Court House dan jalan penghubung mahkamah lama.

Pembangunan sistem ini menelan kos berjumlah RM175 ribu ringgit dan dijadualkan beroperasi pada penghujung tahun ini.