NATIONAL
Projek Smart Indoor Vertical Farm dijangka beroperasi Jun depan

Menurut Zahari, dengan keluasan 50,000 kaki persegi, projek Smart Indoor Vertical Farm di Iskandar Puteri mampu menghasilkan 306,000 kilogram sayuran premium, termasuk salad dan sawi, dalam masa setahun. - Facebook Zahari
JOHOR BAHRU: Projek Smart Indoor Vertical Farm di Iskandar Puteri, Johor dijangka beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata projek perintis itu, merupakan kerjasama strategik antara FarmByte dan sebuah syarikat dari Singapura dengan pelaburan sebanyak RM38 juta.
"Projek berkenaan berperanan dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan di Johor, selari dengan aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Dengan keluasan 50,000 kaki persegi, ladang itu mampu menghasilkan 306,000 kilogram sayuran premium, termasuk salad dan sawi, dalam masa setahun," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.
Zahari juga berkata inisiatif itu turut mencipta peluang pekerjaan baharu dalam sektor pertanian berteknologi tinggi dan menyokong pembangunan pertanian moden yang lestari.
Beliau berkata kejayaan projek itu membuktikan komitmen kerajaan Johor dalam menerajui inovasi pertanian pintar dan menjadikan negeri itu sebagai hab agroteknologi serantau.
"Dengan pembangunan ladang menegak ini, Johor terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju sektor pertanian pintar, memperkukuh daya saing industri agro makanan serta memastikan bekalan makanan yang mampan untuk rakyat dan pasaran eksport," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami