TUMPAT:Fasa pertama projek tebatan banjir sepanjang 10 kilometer dari Pengkalan Kubor hingga Kampung Teresek, Pasir Mas bernilai RM184 juta sudah 70 peratus siap, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Roslan Wan Hamat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor berkata pelaksanaan projek berkenaan dipercepatkan selepas mengambil kira keluhan lebih 8,000 penduduk melibatkan 2,010 rumah di beberapa daerah yang saban tahun berdepan bencana banjir.

"Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2025 namun kami berharap dalam tempoh dua tahun akan datang pembinaan tebatan ini mampu menyelesaikan masalah banjir termenung iaitu banjir yang lambat surut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Bantu Mangsa Banjir Bersama NGO di Jajahan Tumpat di sini, semalam.

Beliau berharap penduduk yang sering berhadapan masalah banjir termenung agar bersabar sementara projek tebatan berkenaan siap.

Mengenai program berkenaan, Wan Roslan berkata pihaknya menyasarkan untuk menyalurkan bantuan kepada 15 kampung yang dilanda banjir sejak seminggu lalu termasuk Kubang Sawa, Kampung Bendang Pa' Yong, Simpangan, Teluk Jering, Kajang Sebidang, Naga Ibu, perkampungan kaum Siam dan Kampung Kubang Bemban.

Wan Roslan berkata bantuan ke sesetengah kampung terpaksa dihantar menggunakan bot atau kenderaan pacuan empat roda, bergantung kepada paras air di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA