KUCHING: Keputusan dan tindakan Yang di-Pertuan Agong memperkenan Proklamasi Darurat di Sarawak adalah selaras dengan pendirian kerajaan negeri yang mengutamakan dua perkara.

Menerusi kenyataan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, perkara pertama ialah menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat Sarawak manakala kedua menegakkan amalan demokrasi berparlimen di negeri itu.

"Kami menjunjung kasih terhadap Seri Paduka Baginda dan memberikan sokongan penuh ke atas Proklamasi Darurat serta Ordinan Darurat bagi negeri Sarawak yang berkuat kuasa 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu lagi, mengikut Ordinan, Darurat akan tamat pada 2 Februari atau boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah menimbangkan pandangan daripada Kerajaan Negeri.

"Dengan adanya peruntukan ini, maka akan terjamin bahawa mandat daripada rakyat akan diperolehi dengan segera sebaik sahaja keadaan pandemik COVID-19 dapat dikawal dan mengizinkan.

"Namun, nasihat pakar beserta data saintifik keadaan COVID-19 yang selamat diperlukan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak diadakan," katanya.

Terdahulu, satu Proklamasi Darurat baharu telah dipersetujui Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  untuk meneruskan darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022.

Namun proklamasi itu akan terlebih dahulu dibentangkan di Parlimen berdasarkan peruntukan Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.