KAJANG: Proses penunaian bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini hari ini dilihat berjalan dengan lancar.

Itu reaksi penerima wang bantuan STR Fasa 2 kategori bujang B40, Mohd Najib Harun yang berpendapat proses untuk menunaikan wang bantuan terbabit adalah mudah dan pantas.

“Bantuan ini dapat membantu saya dan keluarga daripada segi kewangan. Pengurusan hendak ambil (tunaikan) duit bantuan tidak susah, masuk ambil nombor dan terus dapat. Tidak jadi masalah, warga emas, bujang okay sahaja,” kata Najib.

Najib, 40, yang bekerja sendiri berharap bantuan ini diteruskan bagi meringankan bebannya bersama ibunya di rumah.

Turut menerima STR adalah Mohd Hamidi Ahmad, seorang pesara berusia 63 tahun.

“Dengan bantuan ini dapatlah saya beli barang dapur dan kelengkapan Hari Raya. Terima kasih BSN!” kata Hamidi.

Bagi seorang lagi pesara, Hew Hoo Kiew, 67, proses penunaian wang bantuan kali ini dilihat lebih pantas berbanding bantuan yang lepas.

“Senang saja dapat sekarang, dulu lamalah, (bantuan ini) dapat membantu beli barang, makanan,” jelas Hoo Kiew.

Sementara Muniamal Munisamy yang menerima STR bagi kategori isi rumah pendapatan bawah RM5,000, bersyukur dengan bantuan yang diterima.

“Hari ini saya ambil wang untuk STR, okay juga, boleh dapat cepat juga, untuk kita pakai (beli barang) dapur. Siapa yang tidak dapat boleh kemas kini (maklumat), baru dapat,” kata Muniamal.

Menurut Kementerian Kewangan, sebanyak RM1.26 bilion wang bantuan STR Fasa 2 diagihkan kepada 8.7 juta golongan B40 yang berdaftar dalam pangkalan data STR, disalurkan secara berperingkat mulai hari ini.

STR dibahagikan kepada tiga kategori iaitu isi rumah yang menerima bantuan wang tunai RM200, golongan bujang B40 dan warga emas tiada pasangan, masing-masing menerima bantuan wang tunai RM100.

Pembayaran STR seterusnya iaitu Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada bulan Julai dan November tahun ini dengan mengambil kira permohonan baharu atau kemas kini STR yang diterima semasa tempoh permohonan dan pengemaskinian.