SHAH ALAM: Proses mahkamah perlu berjalan dengan lancar tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak termasuk perdana menteri sendiri sehingga boleh mencemarkan prosedur kes terbabit.

Exco Transparency International Malaysia (TI-M), Alan Kirupakaran berkata, ia berikutan pihak mahkamah perlu diberikan peluang untuk menjalankan tugas mereka sebagai badan kehakiman berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Dua-dua pihak yang menuduh dan tertuduh akan diberi peluang untuk menghujah kes mereka masing-masing.

“Yang penting adalah kita jangan politikkan sesuatu kes itu bila ia masuk ke mahkamah, biar proses mahkamah itu berjalan lancar dan sampai ke penghujungnya mengikut undang-undang sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan mengganggu sebarang proses undang-undang melibatkan jemaah menteri yang terlibat dengan kes mahkamah.

Anwar memaklumkan, pihaknya telah memaklumkan kepada Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bahawa negara ini mesti ditegakkan atas prinsip negara hukum.

Dalam pada itu, ujar Alan, sebarang kes yang dibawa ke mahkamah juga tidak boleh melibatkan sebarang konflik berkepentingan daripada mana-mana pihak.

“Bila tidak ada konflik berkepentingan, kita tidak menimbulkan apa-apa perasaan atau pengaruh kepada sesuatu keputusan,” katanya. -Sinar Harian