GEORGE TOWN: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd menyasarkan untuk menjalankan saringan kesihatan kepada 11,818 orang di Pulau Pinang di bawah programnya Skim Peduli Kesihatan untuk Golongan B40 (PeKa B40) untuk tahun ini.

ProtectHealth menerusi kenyataan berkata sasaran itu akan menyumbang kepada sasaran nasional tahun ini, iaitu menyaring sekurang-kurangnya 200,000 orang di bawah skim tersebut berbanding 101,673 saringan yang dilaksanakan tahun lepas.

Bagi mencapai matlamat itu, ProtectHealth menggesa penduduk Pulau Pinang yang layak dalam kumpulan B40 untuk memanfaatkan Skim PeKa B40 yang membolehkan mereka menjalani saringan kesihatan percuma dan menikmati faedah kesihatan lain termasuk Bantuan Kesihatan (HA), Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser (CCTI) dan Insentif Pengangkutan (TI).

Ketua pegawai eksekutif ProtectHealth Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa dan beliau menggalakkan mereka yang layak untuk Skim PeKA B40 supaya pergi ke klinik berdekatan dan menjalani saringan kesihatan percuma.

"Apa yang boleh kita pelajari daripada pandemik ialah mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD) berdepan kesan yang teruk akibat COVID-19.

"Oleh sebab itu, ia sangat penting untuk melakukan saringan awal dan mempunyai perubahan penetapan minda dalam mencapai kecelikan kesihatan yang lebih baik dan peningkatan kesedaran.

"Tambahan pula, negara kini dalam fasa peralihan ke endemik dan tiada yang menghalang warga Pulau Pinang daripada menjalani saringan memandangkan semua kemudahan telah disediakan," tambahnya.

Setakat ini, Skim PeKa B40 disokong oleh 177 orang pengamal perubatan, 27 Klinik Kesihatan, lapan hospital kerajaan dan 15 makmal patologi di negeri ini.

-- BERNAMA