Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTEGE) memperkenalkan lapan elemen atau silibus dalam usaha mengalakkan graduan menceburi bidang keusahawanan selain peluang pekerjaan dan latihan kemahiran.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata ia merupakan antara penambahbaikan yang dibuat kepada program yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

"Kami mahu menjenamakan semula program ini yang juga merangkumi segala betuk skim latihan. Sebelum ini, SL1M ada hubungan dengan syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan beberapa syarikat lain, tetapi kali ini ia dibuka kepada syarikat swasta lain, termasuk syarikat dari luar negara.

"Ini merupakan usaha kami untuk membantu graduan dan lepasan sekolah untuk mendapat pekerjaan atau menjadi usahawan. Jika sebelum ini, SL1M tertumpu kepada latihan untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi kali ini kami mengembangkan lagi kepada bidang keusahawanan," kata Mohd Redzuan dalam satu sidang media selepas melancarkan Program Protege di sini, pada Isnin.

Tambahnya lagi, antara kelainan program kali adalah ia dibuka kepada semua golongan mengikut pengkhususan program, termasuk peringkat pelajar sekolah, lepasan sekolah, graduan diploma dan ijazah serta mereka dari kalangan berpendapatan rendah atau dari luar bandar.

Pada masa sama, Mohd Redzuan turut memaklumkan pihaknya sedang dalam perbincangan bagi membolehkan peserta mendapat pengalaman bekerja dan menjalani latihan di luar negara.

"Kami sedang berbincang dengan beberapa rakan dan Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Usahawan, sektor perniagaan dan industri yang memiliki program yang serupa iaitu ICP Program Penajaan Industri.

"Program ini membolehkan peserta diberi kerja selama dua atau tiga tahun dan diberi latihan kemudian mereka boleh pulang menjadi pekerja lebih baik, dengan kebolehpasaran dan penerimaan oleh pihak industri," kata Mohd Redzuan.

Selain itu, Mohd Redzuan turut berkata, setakat ini lebih 70 peratus peserta SL1M sudah berjaya diserap untuk bekerja di syarikat-syarikat di Malaysia.

"Saya berharap baki 30 peratus peserta ini akan kemabli ke program protege dan menceburi bidang keusahawanan.

"Ini mampu melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Protege, Norashikin Ismail berkata, tahun ini lebih 15,000 peserta disasarkan akan menyertai program tersebut.

Lapan elemen dan silibus itu termasuk program Protege Entrepreneurship Intern, Protege Boot Camp, Protege Business Accelerator, Protege Co-op, Protege ICT, Protege Ready To Work, Protege Booster dan Protege for Industry.