Protes mega Thailand: Ini apa anda perlu tahu

Saraya Mia
Oktober 22, 2020 21:55 MYT
Penamatan perintah darurat merupakan antara tuntutan ribuan penunjuk perasaan, selain mendesak supaya pihak berkuasa membebaskan aktivis yang ditahan semasa demonstrasi. -Reuters
BANGKOK: Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha menamatkan perintah darurat di Bangkok pada Khamis dan mendakwa keganasan berhubung protes besar-besaran menentang kerajaannya dan institusi monarki sudah pun berakhir.
Perintah darurat yang diisytiharkan pada 15 Oktober lalu bagi melarang perhimpunan lebih empat orang bagi tujuan demonstrasi, sepatutnya berakhir pada 13 November diumumkan tamat oleh Prayut berkuat kuasa tengah hari Khamis.
Penamatan perintah itu merupakan antara tuntutan ribuan penunjuk perasaan, selain mendesak supaya pihak berkuasa membebaskan aktivis yang ditahan semasa demonstrasi kerana melanggar perintah darurat.
Berikut adalah garis masa protes mega di Thailand.
19 September 2020
Ribuan penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pelajar di Bangkok, Thailand berhimpun di Universiti Thammasat bagi mendesak kerajaan membubarkan Parlimen, mengadakan pilihan raya umum, menubuhkan perlembagaan baharu dan mendesak reformasi sistem monarki.
BACA: Ribuan pelajar berhimpun, desak kerajaan Thailand dibubarkan
20 September
Penunjuk perasaan berarak berdekatan Istana Raja Bangkok dan menanam plak berwarna emas dengan mesej “Thailand adalah milik rakyat dan bukan milik monarki”.
Mereka kemudian menyerahkan tuntutan dalam sepucuk surat kepada Raja Maha Vajiralongkorn, sekali gus menentang sistem monarki yang diketuainya.
Oktober 15
Kerajaan Thailand mengumumkan perintah darurat di Bangkok bagi mengekang protes mega yang berlangsung berbulan lamanya, berkuat kuasa 15 Oktober 2020 pada jam 4 pagi waktu tempatan.
Perintah itu mengharamkan perhimpunan perhimpunan lebih empat orang dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan.
BACA: Thailand umum darurat kekang protes mega
Oktober 16
Polis Thailand memberi amaran keras kepada kumpulan penunjuk perasaan bahawa mereka berdepan pendakwaan sekiranya meneruskan demonstrasi yang disifatkan mencabuli undang-undang.
BACA: Polis Thailand beri amaran, penunjuk perasaan protes secara aman
Oktober 17
Pihak berkuasa menggunakan meriam air bagi menyuraikan protes mega di beberapa persimpangan jalan utama di Bangkok, namun ia gagal menghalang mereka berkumpul pada hari seterusnya.
BACA: Protes mega Bangkok: Polis Thailand nafi berlembut dengan penunjuk perasaan
Oktober 18
Penunjuk perasaan terus mengingkari larangan berkumpul di ibu negara Thailand untuk empat hari berturut-turut dengan mengulangi tuntutan mereka termasuk peletakan jawatan perdana menteri.
Pihak berkuasa menutup sementara beberapa stesen perkhidmatan Transit Aliran Metropolitan (MRT) dan Skitren Sistem Transit Massa (Skitren BTS) Bangkok bermula 2.30 petang bagi menghalang protes, namun ternyata gagal.
BACA: Thailand: Ribuan penunjuk perasaan ingkar larangan berkumpul di Bangkok
Oktober 19
Polis Thailand mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas empat media dan laman Facebook sebuah kumpulan tunjuk perasaan berhubung laporan mengenai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok.
BACA: Polis Thailand siasat empat media berhubung liputan tunjuk perasaan di Bangkok
Oktober 20
Mahkamah Jenayah Thailand menggantung perkhidmatan stesen TV dalam talian Voice TV susulan liputannya berhubung protes anti kerajaan.
Voice TV yang sebahagiannya dimiliki oleh bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dan adiknya Yingluck adalah antara empat media dan laman Facebook kumpulan penunjuk perasaan, Free Youth, yang disiasat berhubung liputan mereka.
Kabinet Thailand bersetuju untuk mengadakan sesi parlimen khas bagi membincangkan gerakan anti kerajaan selama dua hari pada 26 Oktober 2020.
BACA: Thailand gantung operasi sebuah stesen TV dalam talian
Oktober 21
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan o-cha mengumum persediaan untuk tarik balik perintah darurat di Bangkok jika protes besar-besaran kekal aman.
Namun, penunjuk perasaan meneruskan gesaan peletakan jawatan Prayut dengan berarak ke pejabatnya bagi menyerahkan dokumen tersebut.
BACA: Kerajaan Thailand sedia tarik balik perintah darurat di Bangkok
Oktober 22
Demonstrasi pro-kerajaan melibatkan sekitar 20,000 penunjuk perasaan berlangsung di beberapa wilayah di luar Bangkok termasuk Chiang Mai, Chon Buri, Lampang, Nan, Narathiwat dan Songkhla.
Perintah darurat ditamatkan tengah hari Khamis.
BACA: Penunjuk perasaan ke pejabat PM Thailand, gesa letak jawatan
#Penunjuk perasaan #Bangkok #Prayuth Chan-o-cha #Thailand #Maha Vajiralongkorn #protes mega #Thaksin Shinawatra #perintah darurat