NATIONAL
Protes #TangkapMO1 berlangsung dengan aman

Ketua penganjur Tangkap MO1, Anis Syafiqah ketika berucap pada perhimpuan tersebut pada hari ini. - Foto Astro AWANI/MARIAH AHMAD
Protes 'Tangkap Malaysian Official 1' (#TangkapMO1) di sekitar Jalan Tun Perak hari ini berlangsung dengan aman.
Bermula sekitar jam 2 petang, perhimpunan yang dianjurkan kumpulan aktivis Gerakan Anak Muda ini melakar beberapa titik pertemuan di sekitar ibu negara termasuk di hadapan pusat beli belah Sogo dan Masjid Negara.
Pada jam 2 petang, peserta dari setiap titik pertemuan mula berarak ke Dataran Merdeka sambil membawa plakad tanda protes.
Peserta kemudiannya mula berhimpun di sekitar Jalan Tun Perak apabila lokasi awal perhimpunan Dataran Merdeka ditutup dan kelihatan kawalan pihak polis dipertingkatkan dan sekaligus menimbulkan kesesakan lalu lintas.
Susulan itu, penganjur perhimpunan mengarahkan peserta untuk bergerak ke hadapan dataran Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara reaksi pengguna bas awam yang perlu melalui Jalan Tun Perak ketika peserta Tangkap MO1 mula berhimpun di sekitar jalan tersebut. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Perhimpunan tersebut diteruskan dengan ucapan beberapa pemimpin kumpulan mahasiswa termasuk ketua penganjur perhimpunan, Anis Syafiqah Mohd Yusof."Peserta yang hadir hari ini lebih percaya kepada kuasa rakyat dan mempunyai semangat sayangkan Malaysia.
"Kita perlu bersatu menentang kezaliman. Saya lakukan perkara ini bukan untuk masa hadapan saya, tetapi untuk kebaikan masa hadapan Malaysia," katanya ketika berucap di perhimpunan aman itu.

Pihak polis bersiap sedia di Dataran Merdeka bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Ura-ura yang menyatakan bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai protes itu bagaimanapun, ahli politik veteran itu tidak kelihatan langsung sehingga perhimpunan bersurai.
Perhimpunan itu mendesak identiti 'MO1', yang dinyatakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami