Proton Holdings Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Jean-Marc Gales sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi anak syarikat milik penuhnya, Group Lotus plc, berkuat kuasa 1 Mei.

Sebelum pelantikan di Lotus, Gales, yang berasal dari Luxembourg ialah CEO Persatuan Pembekal Automotif Eropah (CLEPA) sejak 2012, dan memain peranan utama dalam memulihkan persatuan itu melalui pelbagai usaha strategik, termasuk menyelaras proses kerja dan menambah bilangan ahli korporat.

Gales, yang mempunyai pengalaman luas dalam industri pemotoran, termasuk bekerja dengan Daimler AG, General Motors dan Volkswagen AG, ialah Presiden Automobiles Citroen dan Automobiles Peugeot antara 2009 dan 2012, apabila beliau menyusun semula keseluruhan rangkaian nilai jualan dan melaksanakan satu strategi baharu jenama.

Aslam Farikullah, Ketua Pegawai Operasi Group Lotus plc, kekal sebagai Anggota Lembaga Pengarah Lotus Car Limited dan akan terus memberi sumbangan kepada pertumbuhan perniagaan pada masa depan.

CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata: "Kami yakin menerusi kepakaran teknikal, pengurusan dan kepimpinan beliau, Jean-Marc akan dapat memacu rancangan transformasi Lotus dan meningkatkan lagi keupayaan perniagaan Lotus."

Group Lotus plc berpangkalan di Norfolk, United Kingdom, mempunyai tiga bahagian operasi -- Lotus Cars, Lotus Engineering dan Lotus Motorsport.