KUALA LUMPUR:Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) memaklumkan sebanyak 49 lagi kes positif COVID-19 dikesan setakat ini selepas mengumumkan seorang warga kerja disahkan positif pada 14 Oktober lepas.

Menerusi satu kenyataan, Proton menyatakan semua pekerja yang terlibat daripada bahagian kejuruteraan dan kes mereka sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Proton, buat masa ini, semua pekerja yang tidak perlu hadir secara fizikal di kilang Proton Shah Alam telah diarahkan untuk bekerja dari rumah.

“Aktiviti pengesanan kontak sedang dijalankan dan pasukan khas COVID-19 akan memantau situasi terkini secara terperinci.

“Pihak syarikat akan terus mengikuti langkah-langkah pembasmian yang disyorkan sambil mengambil tindakan yang lebih ketat untuk mengurangkan penularan wabak ini,” katanya.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Menurut kenyataan itu lagi, syarikat itu akan terus mengikuti semua garis panduan dan prosedur yang disyorkan dengan ketat seperti yang diamalkan sejak COVID-19 menular.

Menurut kenyataan itu lagi, syarikat itu akan terus mengikuti semua garis panduan dan prosedur yang disyorkan dengan ketat seperti yang diamalkan sejak COVID-19 menular.

“Semua pekerja yang berhadapan dengan pelanggan perlu mengikuti langkah keselamatan dan Pusat Servis Kecemerlangan (COSE) serta bilik pameran Crystal melakukan pembasmian kuman pada setiap jam.

“Proton juga bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang telah memberikan panduan kepada syarikat berkaitan dengan semua proses dan mereka juga berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil buat masa ini,” ujarnya.

Rabu lepas, Proton mengesahkan seorang pekerjanya yang bertugas di bahagian Penyelidikan dan Pembangunan di Shah Alam positif COVID-19 dan sudah dihantar ke pusat rawatan kerajaan selepas keputusan positif itu diketahui.

Proton juga yakin risiko penyebaran ke pihak luaran adalah rendah kerana tidak melibatkan pihak pelanggan.