Pemilihan UMNO hanya akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam usaha ke arah memantapkan parti.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata demikian kepada media ekoran pengumuman penangguhan pemilihan parti tahun depan selama 18 bulan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Jumaat.

"Tujuan utama kita (membuat keputusan itu) adalah untuk menumpukan khidmat sepenuhnya kepada rakyat dan bukan kepada usaha merebut jawatan.

"Yang kedua, untuk mengelakkan perpecahan (sesama anggota UMNO) terutama sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata beliau kepada pemberita selepas program 'Bersama Sehelai baju.com Buat Menyapu Si Air Mata 2015' di Masjid Jamek Parit Ibrahim, Pontian Besar, Sabtu malam.

Kenyataan Ahmad itu sekali gus memberi indikasi bahawa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijadual pada tahun 2018 akan diadakan lebih awal iaitu sebelum tamat tempoh penangguhan pemilihan parti pada September 2017.

Ahmad dalam pada itu turut mengulas sama ada keputusan Majlis Tertinggi UMNO menangguhkan pemilihan UMNO boleh berubah sekiranya ada permintaan daripada anggota-anggota UMNO.

"Pemimpin yang ada sekarang ini terutamanya di cawangan dan bahagian, mereka telah dipilih sebelum ini, jadi mereka patut diberi masa untuk menjalankan tugas mereka dan saya kira tempoh yang sedia ada adalah baik untuk mereka memastikan amanah yang diberikan kepada mereka itu boleh dilaksanakan sebaik mungkin," kata Ahmad.

Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian itu berkata penangguhan itu bukan bermaksud parti itu mengekang demokrasi, tetapi menangguhkan pemilihan untuk kebaikan yang lebih besar dan dalam masa yang sama mengelakkan sebarang kemudaratan dalam parti.

"Perkara (penangguhan) ini sudah biasa. Kita dah buat zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, diikuti dengan Tun Abdullah Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia bukan satu perkara yang baharu," kata beliau.

Ahmad berkata keputusan itu dibuat secara konsensus termasuk sokongan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bersetuju supaya tidak ada pertandingan pada semua peringkat tahun hadapan dan bagi tempoh 18 bulan selepas itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata keutamaan sekarang adalah bagi Barisan Nasional (BN) memenangi PRU14 sekali gus meneruskan kelangsungan parti.

Terdahulu, Ahmad menyampaikan sumbangan baju raya kepada 70 anak yatim dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Pontian Besar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perhentian.