Ketua penyelidik ILHAM Centre, Mohd Yusri Ibrahim memaklumkan golongan pengundi berusia dari 18 hingga 29 tahun yang mewakili 30 peratus pengundi muda memiliki ‘selera’ berbeza.
“Dijangka ramai pengundi berusia 18 tahun ke atas bakal turun mengundi dan sebahagian besar dari kumpulan 18-20 tahun tidak sabar menanti calon yang diketengahkan oleh mana-mana parti. Mereka mahu lihat siapa calon yang bertanding.
“Manakala usia 21-29 tahun turut menekankan nama calon nanti berbanding faktor parti mana atau isu setempat,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, rakyat masih menanti hari penamaan calon pada 5 November ini iaitu apabila majoriti pengundi mengimpikan calon tepat menjadi sandaran.
“Pilihan pengundi untuk PRU15 ini sedikit jauh berbeza yang ditemui di lapangan. Hampir 40 peratus hasil tinjauan memberi perhatian serius kepada parti politik yang menawarkan nama calon baharu.
“Calon yang diberi fokus berbeza mengikut faktor demografi dan geografi. Sebagai contoh, penduduk luar bandar dan kumpulan pertengahan mahukan calon yang mereka boleh temui di acara kenduri, kematian, aktiviti gotong royong dan sebagainya.
“Maksudnya calon yang lebih hampir dengan mereka. Berbeza dengan pengundi di bandar, mereka lebih memberi penekanan kepada sesebuah parti dan juga isu setempat yang mampu diselesaikan,” katanya.
Tambahnya, calon berwibawa dan tepat perlu dipilih bagi menarik hati pengundi untuk bersaing menghadapi strategi parti yang akan meletakkan calon parti dikenali di kawasan ‘panas’ untuk meraih undi popular.