Chin Tong yang juga Ketua Pembangkang di Johor berpotensi untuk mendapat laluan mudah bagi mempertahankan kerusi tokoh besar DAP, Lim Kit Siang.
Bagaimanapun terdapat pelbagai kemungkinan termasuk aspek peratusan keluar mengundi yang rendah serta apa yang berlaku pada keputusan PRN Johor yang lalu.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) di Kota Iskandar pada PRN Johor yang lalu juga antara perkara yang perlu diambil kira.
“Kalau dilihat pada PRN Johor lalu DUN Skudai berjaya DAP pertahankan bagaimanapun BN berjaya merampas DUN Kota Iskandar.
“Sekiranya berlaku pecahan undi antara pengundi Melayu dan Cina dan faktor keluar mengundi yang rendah dalam masyarakat Cina, ada potensi Iskandar Puteri jatuh ke tangan pihak lawan,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mujibu menyatakan senario yang mencabar boleh dilihat sekiranya BN mengambil pendekatan untuk meletakkan nama besar untuk bertanding di kawasan itu seperti Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Melihat kepada sejarah sebelum ini, Chin Tong tewas terhadap Ka Siong apabila bertanding pada PRU14 bagi merebut kerusi Ayer Hitam.
Jelasnya lagi, sentimen pengundi mungkin berpihak kepada Chin Tong ketika ini namun ia bergantung kepada barisan calon yang akan berentap di kerusi itu pada PRU15 kali ini.
Chin Tong yang juga merupakan ADUN Perling diumumkan bertanding di kawasan itu bagi menggantikan veteran DAP, Lim Kit Siang yang ingin memberi laluan kepada muka baharu.