KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk bukti mengenai dakwaannya berhubung isu pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera.

Jelasnya, beliau telah membuat kenyataan secara terbuka mengenai perkara itu dan SPR telah memintanya untuk menyampaikan maklumat.

“Saya dah jawab kenyataan terbuka dan SPR telah minta saya bagi maklumat, saya akan sampaikan kepada SPR kerana saudara tahu sepertimana yang tertera ialah kertas undi dan wang RM300, (isu itu) harus disiasat, jadi itu yang kita minta(SPR laksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian ditanya sama ada mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaannya semasa sidang media di sebuah hotel di Kuching, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar menghentikan perbuatan cara memohon sokongan daripada anggota keselamatan negara.

“Secara spesifik yang saya bangkitkan, saya sudah beritahu saya ada bukti, saya minta supaya ia (tindakan) dihentikan cara meminta pengundian termasuk satu bukti yang jelas dengan wang RM300 disisipkan, itu saudara jangan bimbang, itu antara saya dan SPR,” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan Anwar mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera dan Presiden PKR itu mendakwa anggota tentera berkenaan dibayar, selain menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu.

Mengakui isu tersebut telah mendapat reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kata Anwar mereka sepatutnya menjawab mengenai isu berkaitan rompakan wang tentera yang disifatkan lebih serius dan berat.

BACA: PRU15: Anwar perlu minta maaf tuduh tentera dibayar RM300 undi awal - Ismail Sabri

“PM dengan menteri pertahanan dia patut jawab LCS rompakan wang tentera dan saya sebut benda yang lebih serius, latihan tentera sekarang, latihan menembak peluru pun tidak cukup wang tidak ada kerana wang itu dirompak oleh pemimpin.

“Keduanya jeneral yang bertugas sekarang beritahu saya, bukan yang bersara bahawa ada anak buah dia pakaian seragam terpaksa buat sendiri.

Kerajaan ini gagal, menteri pertahanan patut jawab soalan mengapa tentera dilayani sebgitu rupa.. wang hilang,” tegasnya.