Jalan raya sudah tentu dijangkakan bertambah sesak pada hari ini memandangkan pengundi-pengundi akan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih calon yang sesuai untuk membawa amanah rakyat.
Seperti yang sedia maklum, data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan bahawa lebih 20 juta rakyat akan keluar mengundi dalam PRU15 kali ini.
Angka tersebut dilihat ketara berbanding dengan PRU14 sebelum ini yang mana jumlah pengundi hampir mencecah 15 juta.
Ditambah lagi, PRU15 kali ini juga bakal menyaksikan penglibatan golongan belia yang berumur 18 hingga 29 tahun sebagai pengundi muda susulan pewartaan Undi18 yang mana akan memberi pengaruh besar dalam pilihan raya kali ini.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI University mengenai persepsi orang ramai terhadap PRU15, sebanyak 73 peratus daripada 1,765 responden positif akan keluar mengundi di tempat masing-masing.
Keadaan itu sudah tentu akan memberi kelainan berbanding model Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang mana menyaksikan jumlah peratusan pengundian masing-masing sebanyak 65.85 peratus dan 54.92 peratus.
Sudah pasti tempoh 24 jam ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh parti-parti yang bertanding bagi memenangi hati rakyat.
Selain daripada itu, persiapan rapi daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah tentu memainkan peranan yang amat penting dalam mengawal proses undi pada hari kejadian.
Selain daripada faktor bencana banjir yang dibimbangi akan berlaku dalam masa yang terdekat, turut dibimbangi juga penularan pandemik Covid-19 yang mungkin akan mencetuskan kluster baharu sekiranya tidak dikawal dengan betul. -Sinar Harian