KUALA LUMPUR: Tan Sri Noh Omar merupakan pemimpin terbaharu yang menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden parti berkenaan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam masa sama, Noh turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ahmad Zahid.

Noh mengumumkan gesaan terhadap Zahid dan keputusannya melepaskan jawatan itu kepada pemberita sebaik berakhir mesyurat Biro Politik UMNO dan Pengerusi Perhubungan Negeri yang bermula sejak jam 12 tengah hari tadi.

"Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana Presiden tidak percayakan saya dan saya pun tak percayakan Presiden.

"Pada masa sama, kita juga mengharapkan agar Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO seperti mana yang dilakukan Datuk Seri Najib (selepas Pilihan Raya Umum ke-14)," katanya.

Perkara sama turut disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno yang lain antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Noh sebelum ini tidak dicalonkan oleh Zahid bagi mempertahankan Parlimen Tanjong Karang selepas enam penggal kekal di kerusi berkenaan.

Walaupun tidak dicalonkan semula untuk mempertahankan Parlimen Tanjung Karang, namun Ketua UMNO bahagian itu tetap bersama BN.

Noh berkata, beliau tidak akan bertanding semula dengan tiket parti yang berbeza, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kesetiaannya.

Semalam, dalam gelanggang PRU15 kerusi itu dirampas olehDr Zulkafperi Hanapi dari Perikatan Nasional selepas memperoleh 18,054 undi dengan majoriti 2,180.

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Habibah Mohd Yusof yang meraih 15,874 undi, manakala calon MUDA, Siti Rahayu mendapat 12,314 undi.

Calon Pejuang, Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando memperoleh 3,557 undi dan calon bebas, Mohd Rosni dengan 1,406 undi.