CHUKAI: Tidak mengharapkan pelbagai janji, cuma mahukan kebajikan terbela dan suara mereka 'didengar', merupakan harapan terbesar golongan nelayan di daerah Kemaman.

"Kami hanya minta satu sahaja, jagalah kebajikan kami," itulah luahan Remi Ali, 58, nelayan di Pantai Kemasik dekat sini.

Lebih mesra disapa 'Pok Mi', dia berkata lautan menjadi 'gudang rezeki' sejak di bangku sekolah walaupun kerjaya itu dikatakan sukar, bahaya dan kotor, namun itulah punca pendapatannya sekeluarga.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, pendapatannya bagaimanapun sering terjejas pada musim tengkujuh berikutan nelayan tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki kerana faktor cuaca yang berbahaya.

"Saya ada penyakit gout, kencing manis dan jantung, ada kala kaki bengkak tapi masih turun ke laut untuk cari rezeki. Tetapi pada musim tengkujuh ini, kami (nelayan) tidak dapat turun ke laut maka tiada punca pendapatan sepanjang tempoh tengkujuh ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pantai Tanjung Kemasik dekat sini.

Menurut Remi bantuan sara hidup yang diberikan kerajaan sebelum ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada nelayan dan dia mengharapkan bantuan seperti itu dapat diteruskan.

"Kita hargai bantuan kewangan seperti itu, sekurang-kurangnya beri kelegaan kepada kami nelayan. Nak tambah molek, jaga kebajikan kami ini juga dari segi penyediaan infrastruktur jeti, benteng ombak dan sebagainya," katanya.

Senada dengan pendapat itu, Abd Ghani Ismail, 68, yang juga berharap lebih banyak bantuan sampai kepada golongan nelayan terutama pada musim tengkujuh.

Selain itu katanya, golongan nelayan di daerah itu juga sangat dahagakan pembangunan seperti di Kuala Terengganu agar manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan rakyat.

Kemasik terletak dalam Parlimen Kemaman yang akan direbut oleh calon Perikatan Nasional Che Alias Hamid, Datuk Seri Ahmad Said (Barisan Nasional), Hasuni Sudin (PH) dan Rosli Abd Ghani (Pejuang).

-- BERNAMA