KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja terutamanya pembangkang bagi bersama membangunkan Malaysia.

Ahli Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Andygie Anak Gines berharap selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, wujud satu kerajaan inklusif yang memanfaatkan setiap bakat yang ada dalam negara ini.

Katanya, pembangkang tidak harus ditutup ruang mereka untuk terlibat sama dalam kerja-kerja pentadbiran negara kerana di pihak itu juga terdapat banyak kepakaran yang boleh membantu.

“Kita mahu peruntukan sama untuk pembangkang, benarkan mereka bersuara. Malah kita boleh ada kementerian yang dibentuk bersama dengan pembangkang, kerana selepas pilihan raya, semua orang perlu bekerja bersama.

“Kita mahu orang-orang berbakat dari setiap parti tidak kira apa pun ideologinya untuk bersama membangunkan negara ini dan menjadikannya tempat yang lebih baik untuk didiami,” ujarnya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Ia sebagai menjawab pertanyaan hos Nickyson Nyambar tentang apakah aspirasinya andai kata parti beliau dapat menubuhkan atau bersama dengan gagasan yang membentuk kerajaan.

Lanjutnya, walaupun partinya masih baharu dan kecil dibanding dengan parti-parti lain, mereka akan menjadi suara yang memastikan kerajaan itu ditadbir dengan baik serta memainkan peranannya mengetengahkan aspirasi rakyat Sarawak.

PRU15: Kerajaan perlu terbuka bekerja bersama sesiapa sahaja - Andygie Gines