KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu berunding dengan anggota Kabinetnya untuk meminta Yang di-Pertuan Agong (YDPA) membubarkan Parlimen.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata Ismail Sabri berhak membuat keputusan sendiri kerana itu adalah hak mutlak beliau sebagai Perdana Menteri.
"Justeru, saya berpandangan bahawa memandangkan pembubaran Parlimen dibuat mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan, tiada lagi keperluan bagi mendapatkan nasihat Kabinet di bawah Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
"YDPA telah bertindak mengikut budi bicara baginda sendiri bagi membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri mengikut Perkara 42 (b) Perlembagaan Persekutuan. Baginda tidak terikat dengan nasihat Perdana Menteri atau Kabinet dalam melaksanakan tugas baginda di bawah Perkara 42 (b).
"Saya berpandangan bahawa memandangkan peranan dan kuasa mutlak untuk meminta Parlimen dibubarkan terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, hujahan pemohon yang mencabar kesahihan permintaan itu tidak mempunyai merit. Perdana Menteri boleh meminta agar Parlimen dibubarkan tanpa nasihat Kabinetnya dan pada akhirnya, YDPA mempunyai budi bicara sama ada menerima atau menolak permintaan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membenarkan permohonan Ismail Sabri, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman penyandang kerusi Parlimen Klang Charles Santiago yang difailkan pada 11 Okt lepas.
Ahmad Kamal juga berkata YDPA adalah seorang raja berperlembagaan dan ketua negara manakala Perdana Menteri adalah ketua kerajaan dan kuasa eksekutif terletak di tangan beliau.
Beliau berkata Perkara 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan memperuntuk bahawa YDPA adalah terikat dengan nasihat Kabinet dalam menjalankan tugas baginda kecuali dalam beberapa perkara seperti peruntukan di bawah Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.
"Perdana Menteri juga, sebagai ketua kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Kabinet pilihannya. Kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri termasuk menaikkan pangkat, memecat dan melantik menteri pilihannya, pada satu-satu masa, atas alasan yang difikirkan wajar," katanya.
Hakim itu berkata Perdana Menteri berhak menyatakan isu mana yang perlu dilaporkan kepada beliau secara peribadi atau untuk diputuskan di luar Kabinet.
"Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak terikat dengan nasihat Kabinet. Beliau mungkin, atas inisiatif sendiri, berunding dengan rakan sekutunya atau seorang dua menteri dalam 'Kabinet dalaman' untuk membuat keputusan. Beliau tidak perlu berunding dengan Kabinet berhubung cadangan belanjawan, inisiatif dasar luar atau menasihati YDPA dalam membubarkan Parlimen," katanya.
Ahmad Kamal juga berkata mahkamah berpendapat bahawa Santiago tidak mempunyai kausa tindakan munasabah terhadap defendan atas alasan pengisytiharan dan pembubaran Parlimen adalah perkara yang tidak boleh diadili.
"Kuasa prerogatif untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya pada YDPA, yang memiliki budi bicara mutlak memberi perkenan kepada permintaan untuk membubarkan Parlimen mengikut Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
"Kuasa Perdana Menteri untuk meminta agar Parlimen dibubarkan juga adalah perkara yang tidak boleh diadili. Sebagai ketua Badan Eksekutif, permintaan beliau untuk membubarkan Parlimen tidak memerlukan beliau berunding dengan anggota Kabinet," katanya sambil menambah bahawa saman itu dengan jelas adalah satu skandal, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Justeru, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada defendan.
Santiago dalam samannya, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada Oktober lepas untuk membubarkan Parlimen ke-14 adalah bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana tidak dibuat atas nasihat Kabinet, oleh itu adalah terbatal serta tidak sah.
Beliau juga meminta agar SPR dihalang daripada menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan musim banjir.
Peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang juga bekas Hakim Besar Malaya, dan Datuk Mohd Hafarizam Harun bersama-sama Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan daripada Jabatan Peguam Negara mewakili defendan manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar bertindak bagi pihak Santiago.
Ahmad Kamal turut menolak permohonan kebenaran seorang pengundi di kawasan Pandan untuk semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan penganjuran PRU15 semasa musim tengkujuh yang sering berdepan bencana banjir pada akhir tahun ini.
Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, yang juga seorang peguam, memfailkan permohonan itu dengan menamakan pengerusi SPR, Ismail Sabri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau memutuskan bahawa pembubaran Parlimen tidak boleh diadili dan adalah isu untuk dipertimbang dalam lingkungan badan Eksekutif dan Legislatif yang tidak harus dilayan oleh badan kehakiman dengan berhati-hati.
"Mengambil kira Perkara 32 (1), 40 (2)(b) and 55 (2) Perlembagaan Persekutuan, ia menunjukkan hasrat penggubal bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh YDPA berkaitan pembubaran Parlimen adalah tidak boleh diadili dalam mana-mana prosiding di mahkamah.
"Isu itu adalah isu yang tidak boleh diadili dan oleh itu, perkara ini tidak boleh didengar sebagai semakan kehakiman," katanya.
Shamsul Bolhassan mewakili responden manakala peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram hadir bagi pihak Syed Iskandar.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Oct 28 2022

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata Ismail Sabri berhak membuat keputusan sendiri kerana itu adalah hak mutlak beliau sebagai Perdana Menteri. - Gambar fail

AWANI Ringkas: Keanggotaan Majlis Madani babitkan NGO Islam dan Bukan Islam
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

AWANI Ringkas: Agong harap Malaysia-Singapura tingkat kerjasama
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

29 lokasi seluruh negara diperkenan untuk melihat anak bulan Ramadan
Pengisytiharan tarikh mula berpuasa oleh Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja akan dibuat malam ini.

Kita suka menghukum tanpa mengenali orang lain - Muhammad Faisal
Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz perkara itu boleh diatasi dengan adanya program-program kunjungan dalam konteks agama dan kaum.

Lans Koperal didakwa terima rasuah RM3,500
Ia sebagai dorongan memulangkan semula barang-barang rampasan kes.

Wan Azizah harap Persatuan Pandu Puteri Malaysia terus berkembang
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan terus berkembang.

Lagenda Knicks Willis Reed meninggal dunia pada usia 80 tahun
Sebelum ini Reed dilaporkan mengalami pelbagai masalah kesihatan berkaitan jantung tahun lepas.

KSM bersedia kendali, stuktur semula program berkaitan TVET
Kementerian Sumber Manusia bersedia memikul tanggungjawab untuk mengendali dan menstruktur semula program berkaitan TVET di negara ini.

Maszlee Malik kembali bergelar pensyarah
Bekas Menteri Pendidikan itu memulakan tugas sebagai pensyarah di University of Cyberjaya.

Malaysia raih potensi pelaburan RM24 bilion dari Korea Selatan - MIDA
Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Korea Selatan baru-baru ini, berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM24 bilion bagi Malaysia.

11 Mei keputusan permohonan ibu tunggal batal penukaran agama tiga anak
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan melalui Zoom daripada pihak-pihak terlibat.

Mahkamah gantung waran tangkap Imran Khan
Menurut Faizal, mahkamah mengarahkan polis untuk tidak menangkap Imran sehingga 30 Mac ini.

Petisyen PRU15: Abdul Hadi hadir ke mahkamah esok
Pemimpin itu dijadualkan memberi keterangan jam 9.30 pagi di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Hassan Abdul Ghani.

Mahkamah Rayuan bebaskan jurutera dari dakwaan rasuah
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan seorang jurutera daripada 16 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM40,000.

Lima pekerja ladang warga India edar dadah dihukum gantung
Mereka didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine dan ketamin di Port Dickson, lima tahun lalu.

Keputusan rayuan Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman 18 April
Mahkamah menetapkan 18 April untuk keputusan rayuan Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadapnya.

Bekas kakitangan Utusan yang ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9 juta
Seramai 160 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang terlibat dalam VSS hampir lima tahun lalu, sudah menyerahkan notis tuntutan kepada UHY Advisory, agar menyelesaikan baki pembayaran.

Mahkamah Tinggi tolak permohonan empat ADUN halang usul kosongkan kerusi
Kesemua ADUN terbabit yang juga plaintif ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Wakil Ku Li gagal batalkan keputusan PRU15 Parlimen Gua Musang
Petisyen ini didapati difailkan dengan tidak mematuhi undang-undang kerana melepasi had masa 28 hari.

Syed Saddiq bela diri hari ini
Beliau akan memberi keterangan bagi menjawab pertuduhan yang dikenakan terhadapnya termasuk subahat dan pecah amanah.