ALOR GAJAH: Melaka tidak membenarkan mana-mana parti politik menggunakan aset atau fasiliti kerajaan termasuk dewan, bagi tujuan berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku dalam kalangan parti politik, di samping mengelak berlaku kerosakan pada aset atau fasiliti itu, dan memastikan keadilan bagi semua pihak terlibat.

"Mengikut kepada tradisi dan akta sedia ada semua parti politik tidak dibenarkan guna aset kerajaan sepanjang tempoh PRU15, dan saya sendiri pun sebagai kerajaan negeri sedia ada, tidak akan menggunakan aset berkenaan untuk berkempen.

"Pasang bendera, poster dan sebagainya juga kita telah maklumkan tidak boleh gunakan sumber atau harta kerajaan," katanya kepadanya pemberita selepas Lawatan Pemantauan Projek Negeri bagi Pembinaan Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini hari ini.

Mengulas keputusan kerajaan Negeri Sembilan membenarkan parti politik menggunakan dewan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kegunaan berkempen pada PRU15, Sulaiman berkata ia adalah hak negeri berkenaan.

Beliau berkata aktiviti kempen politik bagi PRU15 boleh dilakukan di kawasan terbuka jika dibenarkan pemilik atau pihak terlibat.

Sementara itu Sulaiman berkata 91 peratus daripada keseluruhan Manifesto atau Aku Janji Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah dilaksanakan dalam tempoh kira-kira setahun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lepas.

Beliau berkata ia termasuk pelaksanaan pelbagai projek di Parlimen Masjid Tanah khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, bagi membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya kerajaan Melaka membelanjakan RM23.09 juta bagi melaksanakan 318 projek tahun lepas dan berjaya dilaksanakan oleh jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sulaiman berkata 183 projek telah dilaksanakan di Parlimen Masjid Tanah dan 36 projek di DUN Taboh Naning melibatkan nilai RM3.29 juta, dan antara projek berkenaan ialah pembinaan Dewan Terbuka Kampung Orang Asli Bukit Payung bernilai RM300,000.

-- BERNAMA