KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan surat yang didakwa bukti projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2 diluluskan kerajaan melalui rundingan terus kepada syarikat tertentu pada 7 Oktober lalu.

Dalam satu sidang media, Rafizi berkongsi surat rasmi yang dikatakan ditujukan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, yang menyatakan bahawa sebuah syarikat telah mendapat kelulusan melalui rundingan terus untuk projek tebatan banjir di Sungai Langat.

Kelulusan itu didakwa diberi oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dakwanya, surat itu bertarikh 7 Oktober, iaitu hari Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen, dan juga sehari hari bekerja sebelum pembubaran Parlimen diumumkan pada 10 Oktober.

"Saya mahu ke mahkamah kerana saya ada bukti yang kukuh mengenai pendedahan saya itu.

"Sejak saya membawa isu ini ke pengetahuan umum pada hari Isnin lalu, reaksi tidak rasmi dan kenyataan rasmi Tuan Ibrahim Tuan Man cuba memberi gambaran bahawa isu yang saya bawa (iaitu projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 akan diberikan secara rundingan terus pada harga RM2 bilion kepada sebuah syarikat) adalah rekaan dan palsu.

"Kenyataan saya bahawa proses untuk melantik (syarikat terbabit) secara rundingan terus telah dan sedang berlaku adalah palsu dan beliau tidak tahu apa-apa mengenai keputusan untuk melantik (syarikat itu) secara rundingan terus bagi sebuah projek yang sebegitu besar," dakwanya. 

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Tak salah saya bercita-cita tinggi mahu jadi perdana menteri - Khairy

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Rafizi juga mencabar Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk meneruskan tindakan undang-undang dan menyamannya.

"Selepas peguam saya menjawab Surat Tuntutan dalam tempoh seminggu ini, saya berharap Tuan Ibrahim Tuan Man meneruskan niatnya untuk menyaman saya di mahkamah. Saya tidak mahu Surat Tuntutan yang dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen PRU15, tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah.

"Sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan dalam tempoh 10 hari dari sekarang, saya berhasrat untuk membuat laporan kepada pihak-pihak berkuasa mengenai peranan Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai peranan, fungsi dan keterlibatan mereka dalam kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh pihak-pihak berkuasa.

"Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan SPRM, saya berharap beliau bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat," dakwanya lagi.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim menafikan dakwaan Rafizi dan mencabarnya untuk membuat laporan kepada SPRM.

Beliau menegaskan kerajaan sementara tidak boleh meluluskan sebarang peruntukan kewangan kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

Tuan Ibrahim juga menuntut Rafizi mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari, dan surat aku janji bahawa beliau tidak akan mengulangi dakwaan itu di mana-mana platform.