LIPIS: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa beliau dalam proses meluluskan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, beliau tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan dari mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan.

"Beliau (Rafizi) dakwa kononnya saya nak luluskan projek pihak tertentu. Dia nak cerita apa? Dia nak fitnah apa? Dia kata ada pihak tertentu minta Menteri KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) lulus peruntukan RM2 bilion dalam tempoh 'caretaker government' (kerajaan sementara).

"Beliau ingat saya tidak tahu peraturan? Mana boleh lulus peruntukan dalam tempoh kerajaan sementara," katanya ketika berucap dalam Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lipis di Bilik Operasi PN Dun Cheka di sini, semalam.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas turut menegaskan, tidak ada mana-mana pihak datang berjumpa dengannya untuk minta luluskan peruntukan RM2 bilion bagi projek terbabit.

Jelasnya, sekiranya ada bukti menyatakan beliau meluluskan projek tersebut, pihak berkenaan perlu tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa perlu membuat fitnah pada musim pilihan raya  ini.

"Beliau (Rafizi) tak sebut secara direct (terus), cuma dia sebut ada pihak tertentu cuba desak Menteri KASA untuk lulus. Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak, mana pernah jumpa saya.

"Apabila Parlimen bubar, satu pekeliling akan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memperingatkan semua pihak agar pertama, tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan.

"Kedua, tidak boleh menjanjikan projek yang melibatkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang. Dan yang ketiga, tak boleh buat mana-mana dasar dan polisi dalam tempoh 'caretaker government'," ujarnya.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan, satu lagi projek menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal untuk kerja-kerja secara tender terhad (atau selektif) adalah melalui proses tender biasa mengikut prosedur kewangan dan tidak ada isu yang timbul.

Katanya lagi, beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender bagi projek di kementerian.

"Bagi saya, urusan tender ada jawatankuasa yang uruskan, saya tak nak terlibat dan saya tak pernah tanya pun.

"Ketua Setiausaha di kementerian ikut prosedur dan peraturan. Siapa yang layak, siapa yang dapat (tender), proceed (teruskan)," katanya.

Semalam, media melaporkan Rafizi menggesa Tuan Ibrahim tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Rafizi mendakwa, kementerian berkenaan dalam proses untuk menganugerahkan projek secara rundingan terus itu kepada kontraktor dilantik.

Katanya, tindakan itu sama sekali melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan, aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara.

Terdahulu, Rafizi berkata, Tuan Ibrahim  sebelum ini menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal secara tender terhad kepada syarikat kontraktor sama.