REMBAU: Sebut sahaja Rembau, rata-rata ramai yang akan terus sahaja terlintas difikiran segala yang terkait dengan politik dan sosok figura yang sentiasa mewarnai arena perdebatan di pentas itu.

Tidaklah pula ramai yang akan mengaitkan sebuah daerah besar di Negeri Sembilan itu dengan lebih dahulu cukup dikenali dengan warganya yang penuh dengan budaya dan adat yang unik.

Walaupun era dan zaman pantas mengubah landskap kehidupan manusia termasuk politik negara yang ‘terlebih’ pantas dari segalanya, namun ternyata desakan arus itu tidak cukup kuat untuk mengubah sebilangan kecil warga asal beberapa buah kampung pendalaman daerah itu.

Krew Astro AWANI yang bertugas bersempena dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan menuntut undi tidak berapa lama lagi turut ingin melihat sendiri dan mendekati latar belakang serta sifat warganya yang menghuni kawasan ‘panas’ itu.

Beberapa kampung yang agak berada di kawasan pedalaman dan terpencil di Rembau ini ternyata masih lagi tersimpan khazanah budaya dan adat dalam sebilangan kecil penduduknya terutamanya dalam kalangan orang lama yang masih ada.

Malah mata kami sendiri terpukau dengan keindahan kediaman sebilangan mereka yang cukup menjaga seni bina tradisi lama yang dijaga rapi seperti dalam keadaan muzium yang terjaga.

Ditambah dengan suasana kampung dan pedalaman yang penuh menghijau, ternyata Rembau sebenarnya tidak seharusnya hanya dikenali dengan isu politik semata.

Ketika melalui Kampung Batu Hampar, Astro AWANI sempat berhenti di sebuah rumah tradisi yang agak menarik untuk dilihat secara teliti.

Bukan sahaja itu, hasrat kami untuk meminta izin dari tuan empunya kediaman unik itu untuk dirakamkan kamera bukan sahaja disambut baik malah ternyata ia menjadi ‘pintu’ kepada pelbagai cerita.

Menurut pemiliknya Cik Wah Ibrahim, 86, kediamanya itu dibina pada tahun 1970 selepas suaminya Abdul Kadir Abdul Karim bersara daripada berkhidmat dengan tentera British.

Walapun tidaklah terlalu lama atau boleh dijadikan bahan sejarah seperti yang lain, tetapi gabungan suasana dan reka bentuknya yang bercirikan kesenian warga asalnya yang mengamalkan adat Minangkabau itu cukup memberikan daya tarikan yang tersendiri.

Tidak hairanlah menurut Cik Wah, sesiapa sahaja yang lalu di depan rumahnya akan turut merakamkan kediamannya itu.

Wanita lewat 80an itu turut mengakui dia dan beberapa kelompok masyarakat di daerah itu adalah warga yang masih kuat mengekal dan mengamalkan adat Perpatih orang terdahulu dalam urusan kehidupan mereka sehingga ke hari ini.

Walaupun mengakui ia semakin dilupakan oleh generasi kini, namun warga emas nyata masih berbangga dengan segala aturan dan urusan Perpatih yang penuh maksud tersirat disebaliknya.

Menyentuh mengenai perkembangan semasa yang berlaku, siapa sangka Cik Wah adalah individu yang sentiasa bersemangat untuk ke pusat pengundian paling awal setiap kali PRU diadakan walaupun dengan hanya berjalan kaki.

“Seronok kerana di situ juga dapat berjumpa dengan kawan lama yang masih ada. Ada yang pernah sama-sama tinggal di Singapura dulu.

“Biasanya saya akan tunggu dia (dua adik beradiknya) di depan jalan tu untuk pergi ke sana (pusat mengundi). Ni kali ni dah janji pagi-pagi nanti saya akan tunggu kat depan tu,” katanya yang sudah melaksanakan tanggungjawab itu sebanyak tiga kali.

Walaupun tidak berpolitik, namun beliau kaya dengan pelbagai pengalaman apatah lagi Allahyarham suaminya pernah berkhidmat dalam tentera British.

Menceritakan kehidupan era perang dahulu, Cik Wah berharap agar warga generasi baharu yang ada hari ini seharusnya lebih menikmati harga pada sebuah kedamaian yang pernah runtuh satu ketika dahulu.

Katanya, generasi seusianya tentu lebih tahu bagaimana perit hidup dalam suasana ketakutan kerana tiadanya kemerdekaan yang terlalu mahal untuk dikecapi ketika itu.

“Kalau nak bercerita ketika itu jangan cakaplah, nak tidur kita terpaksa bawa pangkin ke dalam sawah bawah sana tu setiap malam. Usunglah pangkin tu dengan orang sebelah ni sama-sama, tak tahulah nak cakap,” katanya sambil mengingati semula saat hidup di era perang.

Generasi hari ini seharusnya menghargai nilai kebebasan yang dikecapi

Maka tidak hairanlah dia begitu bersungguh-sungguh berharap agar generasi hari ini yang akan mengundi nanti tidak tersilap dalam percaturan untuk mencari pemimpin terbaik negara.

Katanya, walaupun satu undi yang dilakukan, ia adalah menyumbang kepada bentuk masa depan anak bangsa yang ingin kita corakkan nanti.

Tegasnya kesan terburuk akibat kehilangan kuasa demokrasi dan kebebasan, adalah sesuatu yang tidak mampu bayangkan keperitanya oleh generasi hari ini seperti mana yang pernah dilalui oleh orang lama yang seangkatan denganya dahulu.

Krew Astro AWANI bersama CIk Wah di Kampung Batu Hampar, Rembau