Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Thailand catat aliran keluar modal asing paling besar sejak 2024

61740905280_ThailandFlag.jpg
Data pasaran menunjukkan pelabur asing merekodkan jualan bersih ekuiti AS$823 juta (kira-kira RM3.25 bilion) pada Mac lalu, manakala aliran keluar pasaran bon mencecah AS$705 juta (kira-kira RM2.79 bilion). -Gambar fail

BANGKOK: Pelabur asing mula menarik keluar modal secara besar-besaran dari Thailand susulan kebimbangan terhadap kejutan tenaga akibat konflik perang AS–Israel dengan Iran di Asia Barat, yang memalapkan prospek pemulihan ekonomi negara berkenaan.

Data pasaran menunjukkan pelabur asing merekodkan jualan bersih ekuiti AS$823 juta (kira-kira RM3.25 bilion) pada Mac lalu, manakala aliran keluar pasaran bon mencecah AS$705 juta (kira-kira RM2.79 bilion), lapor Bangkok Post.

Advertisement

Keadaan itu menandakan gabungan aliran keluar modal terbesar sejak Oktober 2024, sekali gus memadamkan momentum pelaburan positif yang dicatatkan pada Februari lalu susulan perkembangan politik domestik.

Penganalisis berpendapat Thailand antara negara paling terdedah di Asia memandangkan hampir separuh bekalan minyak dan gasnya bergantung kepada Asia Barat.

Lonjakan harga minyak global menghampiri AS$100 (kira-kira RM395) setong meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan, sekali gus menjejaskan penggunaan domestik serta sektor pelancongan yang menjadi nadi ekonomi negara itu.

Tekanan fiskal turut meningkat apabila hutang awam Thailand mencecah kira-kira 66 peratus daripada KDNK, menghampiri siling 70 peratus yang ditetapkan kerajaan, sekali gus mengehadkan ruang dasar.

Firma pelaburan antarabangsa kekal berhati-hati terhadap pasaran Thailand, dengan pandangan bahawa impak penuh kejutan tenaga dan gangguan rantaian bekalan global belum lagi tercermin sepenuhnya dalam harga pasaran.

Meskipun terdapat tempoh gencatan senjata sementara, pelabur masih bimbang terhadap kelestarian pertumbuhan ekonomi Thailand sekiranya harga komoditi kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.

Must Watch Video