KIMANIS: Bermula dengan sekadar mencuba nasib.

Kini usahawan muda, Shamsuri Nasaruddin, 24, berjaya mengembangkan perusahaan ikan bilisnya sehingga ke Sarawak dan Semenanjung.

Daripada hanya 200 kilogram (kg) ikan bilis pada 2015, kesungguhan anak kedua daripada tujuh beradik itu membuahkan hasil lumayan apabila mampu menjual sehingga satu tan (1,000kg) sehari.

“Awalnya pergi Sarawak cuba jual 200kg, dan bila sampai Miri sudah habis. Bermula hari itu, bawa lagi banyak dan dari Miri pergi Bintulu, serta Sibu.

“Sekarang memang jauh beza sebab dulu 200kg seminggu, tetapi sekarang sudah ramai orang kenal dan pengeluaran boleh cecah 15 tan hingga 20 tan sebulan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia mula berjinak dengan perusahaan ikan bilis melalui konsep ‘bagang’ yang dibina di lautan.

.

Dia mengeluarkan modal sebanyak RM20,000 untuk membina sebuah bagang, dan mendapat keuntungan dalam tempoh tiga bulan.

Dengan rezeki tersebut, dia menambah lima lagi bagang untuk meningkatkan hasil tangkapan bilis.

.

Begitupun, langit tak selalunya cerah kerana setiap bagang hanya boleh bertahan selama lima bulan sebelum runtuh dibadai ombak. 

“Untuk buat bagang sekarang memang mahal, perlu bajet RM40,000 tetapi dulu dalam RM25,000 untuk satu bagang sudah boleh bina.

“Selepas bagang runtuh, saya bagi modal kepada orang (nelayan) dan carikan ikan bilis. Biasanya kongsi dan bilis dia bagi kami,” ujarnya lagi.

.

Shamsuri menambah, kelebihan ikan bilis yang dihasilkan olehnya adalah terletak kepada kualiti garam berbanding daerah lain di Sabah.

Bagi mengekalkan kualiti tersebut, dia berkata setiap hari ikan bilis yang dibawa dari laut akan dikeringkan sehingga tujuh jam di bawah cahaya matahari.

Selepas itu proses mengasingkan bilis mengikut gred akan dilakukan sebelum pembungkusan.

.

Selain ikan bilis mata biru, Shamsuri berkata permintaan paling tinggi ialah jenis bulat dan ikan bilis belah dua.

“Kalau hujan pula ikan bilis akan dimasukkan dalam cool room (bilik sejuk) untuk ia kekal kering dan tidak berbau sebab matahari tiada.

"Jadi untuk pastikan kualitinya cantik, ikan mesti masuk cool room dan garam di sini (Kimanis) guna garam berkualiti,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Shamsuri berharap wakil rakyat yang akan diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh membantu usahawan dan belia di Parlimen Kimanis.

Kerusi Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin; Dr Daud Yusof (Parti Warisan), Yusop Osman (Parti Pejuang Tanah Air), Rowindy Lawrence Odong (Pakatan Harapan) dan Amat Mohd Yusof (Kesejahteraan Demokratik Masyarakat).