Perkara itu senada ditegaskan Ketua Putera UMNO Malaysia, Farhan Mokhali dan Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Selangor, Kusaaliny Mahendran.
Mereka berkata, perubahan hanya boleh dilakukan dengan penglibatan untuk memilih perwakilan yang akan membawa suara rakyat ke peringkat pembuatan dasar.
“Dari segi pendidikan, sosial, sukan, benda-benda yang memberi kesan kepada hidup kita secara terus, semuanya melibatkan politik.
“Kita memang tak sedar impaknya, tetapi politik memang memberi kesan kepada kehidupan seharian kita,” kata Farhan dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Kata Kusaaliny pula, sungguhpun tidak berminat untuk mengambil kisah tentang hal-hal besar, sekurang-kurangnya anak muda perlu peduli tentang perkara yang dekat dengan mereka.
“Ambil peduli pasal isu yang anda peduli.
“Kalau anda rasa anda tidak mendapat pendidikan sebaiknya atau tak boleh bayar yuran pengajian, mengapa? Mungkin pemimpin kita tak pentingkan hal tersebut,” jelasnya.
Tambah mereka, anak muda perlu peduli serta menyuarakan tuntutan mereka, dan pentas untuk bersuara dengan paling lantang, berkuasa dan sah adalah melalui kertas undi.
“Kalau anda tak ambil kisah, lagilah pemimpin tak ambil kisah tentang perkara yang penting bagi anda kerana kerajaan pun ada banyak isu yang mahu diketengahkan.
“Kalau anda ambil kisah dan suara anda kuat, kerajaan akan nampak bahawa isu yang disuarakan itu penting dan akan diutamakan,” tegas Farhan.