YAN: Semua penyokong parti diingatkan agar tidak terbabit dalam sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama di jalan awam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata sebarang aktiviti seumpama itu tidak dibenarkan bagi mengelak kejadian tidak diingini yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Beliau berkata, pasukan polis bersiap sedia mengawal keadaan dan orang ramai digesa mematuhi segala peraturan dan undang-undang ditetapkan.

"Nasihat saya kepada mana-mana parti yang mungkin akan mencapai kejayaan atau pun memenangi pilihan raya pada kali ini supaya tidak ada perarakan meraikan dengan kapasiti berleluasa agar dapat mengelak berlakunya pertembungan ataupun masalah provokasi, kecil hati dan sebagainya.

"...yang boleh menjurus kepada pergaduhan atau boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam. Kalau nak merai pun, rai lah dalam keadaan 'in-house' dan dalam keadaan yang terjamin keselamatannya," kata beliau.

Wan Hassan ditemui ketika meninjau penutupan Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Matang Buluh dekat Yan pada Sabtu.

Sementara itu beliau memaklum, Polis Kedah tidak menerima sebarang laporan berhubung apa-apa insiden di pusat mengundi sempena PRU15 yang berlangsung pada Sabtu.

Katanya, rakyat negeri ini semua telah memainkan peranan sebagai rakyat yang 'sporting' dan faham tanggungjawab masing-masing.