Justeru, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, tindakan sesetengah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menghalang kelas demokrasi yang dijalankan oleh aktivis, Fahmi Reza, sebagai tidak wajar.
"Ini bukan tanggungjawab satu dua pihak, ia tanggungjawab semua untuk memberi pendedahan dan pendidikan, terutama bagi mereka yang mempunyai cara dan inisiatif yang betul dan bersifat bipartisan.
"Saya pernah mendengar kelas yang dijalankan saudara Fahmi Reza, beliau memang memberi kelas tanpa menyentuh hal berkaitan parti politik, sebaliknya lebih kepada pendedahan tentang proses pilihan raya.
"Ruang seperti ini seharusnya diberikan, berikan mereka pendedahan terhadap sistem demokrasi secara adil sekali gus kebebasan untuk mereka membuat penilaian," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih, pada Khamis.
Berbaki dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Ahmad Farhan menggesa agar parti politik menghentikan polemik dan doktrin berbaur perkauman kerana ia bukan sahaja akan menjauhkan anak muda dengan parti tersebut, tetapi juga akan menyebabkan mereka tidak berminat untuk keluar mengundi.
"Anak muda di Malaysia sangat sayangkan Malaysia, mereka celik hati, fikiran dan jiwa. Mereka sedang membuat pertimbangan yang sewajarnya bukan sahaja dari segi penilaian manifesto tetapi juga kaedah yang digunakan parti politik sepanjang kempen mereka.
"Saya percaya golongan muda tidak suka dengan propaganda dan sentimen negatif yang dimainkan seperti perkauman dan agama. Sekiranya parti politik memainkan sentimen ini berterusan, mungkin ia akan menjauhkan mereka dari parti politik terbabit, malah lebih teruk, mereka tidak mahu keluar mengundi," katanya lagi.