LIPIS: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, di sini, kira-kira jam 8.37 pagi. 

Menteri Besar Pahang itu yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, hadir bersama isteri, Datin Seri Datuk Burhah Mohammed. 

Pasangan tersebut tiba di perkarangan sekolah kira-kira jam 8.30 pagi dan bertegur sapa dengan pengundi yang turut hadir sebelum membuang undi di Saluran 1 pusat mengundi berkenaan.

Ditemui di luar bilik mengundi kemudiannya, Wan Rosdy melahirkan rasa syukur melihat perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjalan lancar.

"Alhamdulillah hari ini cuaca baik dan ramai yang keluar mengundi. Saya berdoa pengundi di Pahang dapat membuat pilihan yang tepat.

"Ia demi kelangsungan pencapaian yang telah kita buat selama ini selepas PRU14, sehingga kerajaan dibubarkan," katanya.

Wan Rosdy, Menteri Besar Pahang ke-14 yang juga penyandang DUN Jelai sejak 2004, berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Dr Abdul Rasid Mohamad Ali dan calon Pakatan Harapan, Ismail Muhamad Husin.

Pada PRU14 lalu, Wan Rosdy memenangi kerusi DUN Jelai dengan undi sebanyak 5,858 (majoriti 3,507) menewaskan tiga saingan dari parti lawan.