Skip to main content

Dunia

Pemburuan terhadap ratu kripto OneCoin diteruskan

Ignatova kekal dalam senarai burunan antarabangsa yang dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Europol. - Foto X/@historyinmemes
Ignatova kekal dalam senarai burunan antarabangsa yang dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Europol. - Foto X/@historyinmemes

Advertisement

DORTMUND: Pihak berkuasa antarabangsa masih meneruskan pencarian terhadap Ruja Ignatova, selepas lebih daripada setahun pendakwa raya Jerman mendakwanya atas penglibatan dalam penipuan wang kripto, OneCoin, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Keberadaan Ignatova, yang dikehendaki sejak bertahun-tahun, masih tidak diketahui.

Pada Isnin, Pejabat Pendakwa Raya Bielefeld mengumumkan bahawa pihak berkuasa berjaya merampas kira-kira €10.1 juta (AS$11.4 juta) daripada aset individu yang menggelar dirinya Ratu Kripto itu.

Wang berkenaan diperoleh daripada hasil penjualan dua unit pangsapuri di London dan akan digunakan bagi memberi pampasan kepada para mangsa.

Pihak berkuasa mengemukakan pertuduhan terhadap Ignatova pada September 2025 bagi mengelakkan kesalahan penipuan berkenaan melepasi tempoh had masa pendakwaan.

Kesalahan yang dituduh ke atasnya akan mencapai tempoh had masa pendakwaan pada 2031.

Lembaran pertuduhan menamakan kira-kira 17,500 mangsa dengan anggaran keseluruhan kerugian berjumlah €57 juta (AS$64 juta), merangkumi tempoh aktiviti jenayah yang ditetapkan antara 2015 dan 2016.

Jutaan pelabur di seluruh dunia dilapor terjejas dengan jumlah kerugian mencecah bilion dolar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh membina skim piramid bersifat penipuan bagi memasarkan mata wang kripto rekaannya. Syarikat itu berpusat di Greven, barat Jerman.

Ignatova berlepas dari Sofia ke Athens pada 25 Okt 2017 dan tidak kelihatan sejak itu.

Dia kekal dalam senarai burunan antarabangsa yang dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Europol.

Pencarian di peringkat global sedang dijalankan, termasuk menerusi edaran foto tertuduh.

Pendakwa raya Jerman menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan tertuduh supaya menghubungi Pejabat Polis Jenayah Negeri di Dusseldorf.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement