KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan sejumlah RM2.38 juta ke dalam 44,758 akaun Simpan SSPN Prime sebagai ganjaran kesetiaan.

Agihan itu dibuat ke atas pendeposit yang menyertai Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 yang berlangsung pada 22 Februari hingga 30 April lalu.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen berkenaan menawarkan ganjaran pada kadar satu peratus sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan serta tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 sehingga 31 Disember 2018, membuat simpanan terkumpul minimum sebanyak RM500 dan tidak membuat pengeluaran simpanan dalam tempoh kempen sehingga 31 Julai lalu layak menyertai kempen itu.

“Ganjaran Kesetiaan pada kadar satu peratus tersebut telah dimasukkan ke dalam 44,758 akaun Simpan SSPN Prime yang layak, melibatkan peruntukan berjumlah RM2.38 juta.

“Pendeposit Simpan SSPN Prime boleh membuat semakan Ganjaran Kesetiaan di penyata Simpan SSPN Prime melalui Portal Rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my atau aplikasi mudah alih myPTPTN mulai 15 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki menambah, jumlah deposit Simpan SSPN Prime yang diterima melalui kempen itu sebanyak RM238.3 juta bagi tahun 2022.

“Sehingga 31 Ogos 2022, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima bagi tahun ini adalah sebanyak RM1.92 bilion atau 68.65% daripada sasaran tahun 2022 berjumlah RM2.8 bilion.

“PTPTN mengucapkan terima kasih kepada pendeposit Simpan SSPN Prime yang setia membuat simpanan bersama PTPTN untuk jaminan masa depan pendidikan.

“Teruskan membuat simpanan di dalam Simpan SSPN Prime kerana ia menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan dijamin kerajaan.

Jelasnya lagi, pendeposit Simpan SSPN juga berpeluang memenangi hadiah hebat bernilai hampir RM1 juta melalui promosi Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember ini dengan hadiah utama berupa kereta Mercedez-Benz A250 AMG Line.