PTPTN, My Digital ID jalin kerjasama perkukuh transformasi digital aplikasi MyPTPTN

Norliza (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID Sdn. Bhd. di Menara PTPTN pada Selasa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan My Digital ID Sdn Bhd bagi mengintegrasikan identiti digital MyDigital ID ke dalam aplikasi myPTPTN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, langkah itu dapat memperkukuh kecekapan serta meningkatkan pengalaman pengguna dalam mengakses perkhidmatan secara dalam talian.
"Transformasi ini memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana membolehkan mereka berurusan secara mudah, cepat dan selamat dari rumah, kampus atau di mana sahaja," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di menara PTPTN di sini, pada Selasa.
PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid manakala My Digital ID diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Nik Hisham Nik Ibrahim.Selain Norliza, pemeteraian MoU turut disaksikan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif My Digital ID, Azrin Aris dan pengurusan kanan dua organisasi tersebut.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, kerjasama strategik itu sejajar dengan aspirasi kerajaan di bawah Dasar Identiti Digital Nasional (NDID) dan Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menjadi asas kepada transformasi perkhidmatan awam serta pembangunan ekonomi digital negara.
Kerjasama itu juga membuktikan komitmen PTPTN untuk menjadi organisasi digital yang progresif dan mesra pelanggan selaras dengan agenda pendigitalan negara.
"Selari dengan Teras Ke-5 Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasakan organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan, PTPTN telah memperkenalkan aplikasi myPTPTN," katanya dan menambah sehingga 15 Okt, lebih 2.8 juta pengguna telah menggunakan aplikasi itu.
Beliau berkata melalui platform itu, pengguna boleh membuat permohonan pinjaman, menyemak baki pinjaman, membuat pembayaran balik serta membuka dan menambah deposit dalam akaun Simpan SSPN dengan mudah, cepat dan selamat.
Sementara itu, Nik Hisham berkata kerjasama tersebut bukan sahaja menyokong agenda pendigitalan negara, malah meletakkan asas kukuh kepada pertumbuhan inovasi digital dalam sektor pendidikan.
"Lebih penting, ia membantu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap transaksi digital sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia," katanya.
Untuk maklumat lanjut aplikasi myPTPTN, orang ramai boleh melayari www.ptptn.gov.my atau memuat turun aplikasi myPTPTN bagi mendapatkan notifikasi serta mengakses perkhidmatan PTPTN pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami