Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan kutipan RM100 juta sebulan bermula September ini selepas memperkenalkan kaedah pemotongan gaji peminjam penjawat awam.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Agos Cholan, bagaimanapun, berkata, hasil usaha perbadanan itu dalam mengutip kembali pinjaman disifatkan masih belum memuaskan dan usaha ke arah itu akan dipertingkatkan.

Menurutnya, sehingga kini, purata jumlah bayaran balik hutang yang diterima PTPTN dalam tempoh sebulan adalah sekitar RM60 juta.

"Secara keseluruhan prestasi bayaran balik hutang PTPTN kurang memuaskan tetapi ada peningkatan dari bulan ke bulan.

"Kami menjangkakan dapat mengutip sebanyak RM100 juta sebulan selepas bulan September ini," kata beliau kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan pejabat PTPTN negeri Kelantan di Bandar Baru Tunjong, pagi tadi.


Jelas beliau, sehingga 31 Mei tahun ini, perbadanan tersebut telah mengutip RM6.3 bilion atau 46.4 peratus daripada RM13.7 bilion yang sepatutnya dikutip melibatkan 1.7 juta peminjam.

Beliau turut berkata, PTPTN akan mempergiatkan kempen dan penerangan bagi memastikan jumlah bayaran balik pembiayaannya akan terus bertambah antaranya melalui program Sahabat PTPTN dan pembukaan 'One Stop Centre PTPTN' di seluruh negara.

Menyentuh mengenai jumlah mereka yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen akibat keengganan membayar hutang PTPTN, menurut Agos, sehingga akhir Mei tahun ini, seramai lebih 136,000 peminjam telah dihalang ke luar negara.

Manakala lebih 52,000 peminjam telah dikeluarkan dari senarai hitam setelah membayar tunggakan serta membuat rundingan untuk pembayaran balik secara berkala.

"Seramai 130,000 peminjam telah disenaari hitamkan dan mereka tidak boleh keluar negara.

"Dalam pada itu, hampir 50,000 peminjam telah datang untuk berunding dengan kita untuk membuat bayaran tunggakan. Setelah mereka membuat perjanjian bayaran seterusnya, mereka dibenarkan ke luar negara," kata beliau.

Tambah Agos, pihaknya sentiasa mempertingkatkan usaha dengan mengadakan pelbagai kempen kesedaran supaya peminjam menunaikan tanggungjawab mereka.