KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 4.10 peratus bagi tahun 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, agihan dividen berkenaan melibatkan peruntukan dianggarkan RM505.68 juta yang memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit.
“Dividen Simpan SSPN bagi tahun 2025 ialah sebanyak 4.10 peratus melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta yang akan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dividen adalah sebanyak RM2.63 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2025 di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, peningkatan kadar dividen itu turut menunjukkan kecekapan PTPTN dalam menguruskan dana simpanan secara berkesan berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik.
Tambahnya, prestasi tersebut disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah jangka pendek dan panjang di pasaran wang serta sukuk tempatan yang mampu memelihara prinsipal, di samping menawarkan pulangan kompetitif.
“Pemberian dividen pada kadar 4.10 peratus ini juga menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada kadar 2.75 peratus sepanjang 2025,” jelasnya.
Dalam pada itu, Norliza berkata, prestasi Simpan SSPN terus mencatatkan peningkatan dari segi jumlah deposit dan penyertaan pendeposit.
“Pada tahun 2025, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.33 bilion.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding pencapaian tahun 2024 iaitu sebanyak RM3.17 bilion.
“Selain itu, lebih 500 ribu pembukaan akaun baharu juga telah direkodkan pada tahun lalu,” ujarnya.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan deposit yang diterima sehingga 31 Disember 2025 mencecah RM23.88 bilion, sekali gus membuktikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap Simpan SSPN.
Beliau turut menegaskan bahawa Simpan SSPN kekal sebagai platform simpanan pendidikan yang selamat dan menguntungkan, selain menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit.
Antaranya termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma. Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak serta simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluaskan kriteria pemberian Geran Sepadan Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 bagi tempoh dua (2) tahun melalui inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI), dengan nilai geran sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga.
Selain itu, PTPTN turut menganjurkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 dengan menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM1.4 juta kepada 954 pemenang sepanjang tahun ini.
Sehubungan itu, Norliza berharap kadar dividen yang kompetitif ini akan terus menarik minat lebih ramai pendeposit baharu serta menggalakkan pendeposit sedia ada meningkatkan simpanan bagi masa depan pendidikan anak-anak.
Agihan dividen berkenaan akan dimasukkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN, manakala penyata simpanan boleh disemak melalui aplikasi myPTPTN bermula 7 Mei 2026.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.