MALAYSIA
AS puji Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN selesaikan konflik Thailand-Kemboja

Edgard D. Kagan, berkata kejayaan penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa hari ini membuktikan kepimpinan Malaysia dalam mempertemukan pihak-pihak yang terlibat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN amat penting dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja susulan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat mengiktiraf peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja, termasuk kejayaan Mesyuarat GBC Luar Biasa yang mempertemukan pihak terlibat.
- Perdana Menteri dan Panglima ATM memainkan peranan aktif, manakala AS memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan Malaysia dan negara ASEAN lain untuk memastikan proses damai berjalan lancar dan berkesan.
- AS menekankan bahawa persetujuan gencatan senjata hanyalah permulaan, dengan fokus kepada mekanisme pemantauan telus dan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk mencapai keamanan berkekalan.
“Semua pihak amat menghargai kepimpinan Malaysia, termasuk penglibatan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat tertinggi, serta usaha gigih Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Pasukan tentera Malaysia telah bekerjasama erat dengan rakan sejawatan dari Thailand dan Kemboja untuk mencapai persetujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat GBC Luar Biasa yang berlangsung di ibu negara pada Khamis.
Kagan turut memberi jaminan bahawa Washington akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta dengan negara-negara anggota lain untuk memastikan ASEAN memainkan peranan efektif dalam menyatukan dua negara anggota itu.
Dalam masa sama, beliau berkata meskipun persetujuan gencatan senjata merupakan langkah yang signifikan, ia hanyalah permulaan kepada proses yang lebih panjang.
Tegas beliau, matlamat utama adalah untuk mencapai gencatan senjata yang mampan dan berkekalan, yang diterima dan dikuatkuasakan oleh kedua-dua pihak.
“Mekanisme yang sedang dilaksanakan ketika ini diyakini penting bagi memastikan proses pemantauan berjalan dengan lancar, telus dan berkesan.
“Lebih penting, kami percaya bahawa apa yang telah berlaku menunjukkan kedua-dua kerajaan benar-benar berkomitmen, dan AS akan memantau dengan teliti agar komitmen ini terus dikekalkan,” katanya.
Selain itu, Kagan menambah Presiden AS, Donald Trump memberikan keutamaan tertinggi kepada konflik Thailand-Kemboja, dan percaya bahawa sebarang bentuk peperangan atau konflik, tidak bermanfaat kepada kepentingan semua pihak.
Malaysia, AS dan China menjadi pemerhati dalam Mesyuarat GBC Luar Biasa yang berlangsung hari ini.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami