KLANG: Penangkapan lima suspek suspek kes pukul dua pengawal peribadi hanya kerana mereka berpuasa, membongkar aktiviti sindiket perjudian dalam talian, pengubahan wang haram dan along.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata polis mengesan kegiatan jenayah sindiket itu dalam serbuan dan tangkapan susulan laporan berkaitan kes pukul yang diterima membabitkan pengawal peribadi terbabit.

Katanya, lima yang ditahan termasuk majikan mangsa yang merupakan supek utama. Semua mereka berusia antara 35 hingga 47 tahun ditahan dalam operasi di Klang dan Kuala Lumpur pada Rabu.

Katanya, polis merampas 100 jongkong emas seberat 100 kilogram selain 12,500 keping wang kertas AS$100 dengan nilai keseluruhannya mencecah RM28.45 juta.

Beliau berkata, turut dirampas adalah pistol dan rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian memukul pengawal peribadi pada Selasa malam.

"Suspek utama dalam kejadian itu dipercayai sudah menjalankan kegiatan haram berkenaan sejak beberapa tahun lepas. Buat masa ini, suspek tiada rekod jenayah.

"Jadi kita akan menyiasat dengan lebih mendalam sindiket yang dijalankan oleh suspek.

"Hasil siasatan awal suspek terlibat dalam kegiatan haram terutama along dan judi haram. Pengawal peribadi (yang dipukul) ini, mereka bekerja dengan syarikat ini dan syarikat terlibat dalam aktiviti along dan juga judi haram," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

BACA: Dua 'bodyguard' dipukul, diacu pistol, diugut bunuh kerana berpuasa

BACA: 4 ditahan polis kes pukul, ugut bunuh 'bodyguard' kerana puasa

BACA: Pukul pengawal peribadi sebab puasa, empat lelaki direman


Kes Pukul | Dua 'bodyguard' dipukul kerana berpuasa

Media sebelum ini melaporkan, dua pengawal peribadi dibelasah, diacukan pistol dan diugut bunuh hanya kerana berpuasa di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang, pada Selasa malam.

Arjunaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324, Seksyen 298, Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 5 (2) Akta pemberi pinjam wang 1951.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, kes pukul dan acu pistol berkenaan lebih kepada berbentuk peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman atau keagamaan.