KUALA LUMPUR:Selepas tiga tahun berkhidmat sebagai Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian pulang semula ke China selepas tamat tempoh perkhidmatan pada Jumaat.

Dalam satu kenyataannya, beliau memaklumkan bahawa sepanjang tiga tahun lalu, beliau telah mengalami beberapa siri cabaran, termasuk perubahan politik di Malaysia dan wabak COVID-19.

Namun begitu, beliau menjelaskan tidak kira apa perubahan berlaku, persahabatan dan kerjasama China-Malaysia tidak terganggu.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saling kepercayaan antara kita telah ditingkatkan lagi, persahabatan kita telah berkembang merentasi pelbagai bidang yang menyumbang kepada peningkatan kualiti kerjasama.

“Hasilnya, hubungan China-Malaysia menjadi lebih kukuh. Saya amat berbesar hati kerana dapat menyaksikan, mengalami serta menyumbang kepada perkembangan tersebut,” jelas Bai Tian.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa khuatir akan perkembangan semasa dunia yang jauh daripada aman damai akibat pandemik COVID-19 dan kebangkitan dasar perlindungan, populisme dan unilateralisme yang mengancam perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi.

“Namun, ini menegaskan lagi perlunya matlamat bersama untuk mencapai keamanan, pembangunan dan kerjasama yang memang-menang; manakala globalisasi ekonomi dan multipolarisasi dunia merupakan arus perkembangan yang tidak dapat dihalang.

“Mujur China dan Malaysia berkongsi konsensus yang meluas lagi tinggi dalam mendorong kerjasama serantau serta menjaga sistem perdagangan antarabangsa.

“Kini, China dan Malaysia adalah antara negara-negara yang bertindak terbaik dalam mengawal wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi,” tambahnya.

BACA: Anggap Malaysia negara sahabat baik, China akan beri keutamaan vaksin COVID-19 - Muhyiddin 

Beliau pada masa sama, menantikan China dan Malaysia menerokai lagi kaedah untuk memulihkan dan merangsangkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Ia bagi menggalakkan interaksi antara rakyat kedua-dua negara, menstabilkan rantaian industri kerjasama serta terus mengembangkan pemacu kerjasama baharu.

“Saya yakin dan percaya, selagi kedua-dua negara bekerjasama, kita pasti boleh mengharungi apa sahaja kesusahan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya keakraban, kerjasama dua hala di pelbagai sektor, hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974 dapat diperkukuh demi kepentingan serta kesejahteraan ekonomi bersama.

Sebelum ini, Bai Tian turut melakukan kunjungan perpisahan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen pada Khamis.

Bai Tian tiba di Kuala Lumpur pada 28 November 2017 untuk bertugas sebagai Duta Besar China ke Malaysia ke-15 dan telah memegang jawatan berkenaan genap tiga tahun.