PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kenyataan dan kritikan yang dilemparkan terhadap beliau oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh adalah semata-mata pendapat baginda.

Bagaimanapun menurut bekas Perdana Menteri itu ia juga bukanlah kenyataan yang dibuat oleh mana-mana hakim yang menentukan apa-apa keputusan.

Jelasnya baginda mempunyai hak untuk menyatakan sebarang pandangan berkenaan isu tersebut.

“Di negara kita ini Sultan bebas. Mereka mengatasi undang-undang. Jadi dia (baginda) boleh nak katakan apapun dan saya tidak boleh jawab.

“Tapi saya juga nak tahu kenapa mereka jual 1,700 hektar kepada orang China? Itu lebih besar daripada seketul batu. Ini nak jual lagi? Bandar Maharani nak jual lagi kepada Singapura?” katanya di sini selepas hadir ke Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Sebelum ini Dr Mahathir mendakwa kenyataannya yang mendesak Johor menuntut semula Riau dan Singapura kerana kedua-dua wilayah itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu telah dilaporkan di luar konteks.

BACA: Kehilangan Pulau Batu Puteh kesilapan kerajaan Johor - Dr Mahathir

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu menjelaskan, kenyataan beliau hanya merujuk kepada Pulau Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia berbanding wilayah lain yang sebelum ini diambil dari Malaysia.

Dakwa Dr Mahathir, kehilangan pulau kecil itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor sendiri.

Pulau Batu Puteh | Kehilangan disebabkan kerajaan Johor - Tun M