GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengharamkan penjualan permainan yang menggunakan alat peranti perubatan seperti jarum suntikan termasuk produk dikenali sebagai “squeeze acne toy needle tube pinch music injection bubble” kerana berisiko membahayakan keselamatan kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, permainan itu didapati dijual secara terbuka dan meluas di pasar malam, premis perniagaan serta dalam talian.
Advertisement
"Saya mendapat aduan daripada ibu bapa berhubung penjualan terbuka permainan itu dan pasukan saya telah turun ke pasar malam semalam dan mendapati memang ia dijual di situ dengan harga RM5 setiap permainan yang lengkap dengan jarum suntikan.
"Penggunaan jarum dalam permainan itu menimbulkan kebimbangan kerana ia dikategorikan sebagai peralatan perubatan yang tertakluk kepada kawalan ketat yang sepatutnya perlu didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Peranti Perubatan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A.Rajendran.
H'ng berkata penggunaan jarum suntikan itu tanpa kawalan boleh mendatangkan risiko kesihatan seperti jangkitan kuman serta salah guna, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak.
Peralatan jarum tidak boleh dijual secara bebas dan hanya dibenarkan melalui pihak yang berdaftar serta berlesen, selain perlu memenuhi piawaian keselamatan termasuk aspek steril, katanya.
Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengambil tindakan tegas termasuk sita serta kompaun sekiranya peniaga gagal mematuhi larangan penjualan mainan tersebut malah lesen perniagaan juga boleh ditarik.
"Pihak PBT akan membuat pemeriksaan mengejut setiap hari di premis perniagaan dan pasar malam dalam usaha memastikan tiada peniaga menjual mainan tersebut, kami juga akan membuat aduan mengenai penjualan berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya ia tidak dijual secara dalam talian.
"Langkah-langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan orang awam khususnya kanak-kanak terus terpelihara daripada risiko penggunaan peralatan perubatan yang tidak sepatutnya dijadikan permainan," katanya.
Beliau turut meminta kerjasama ibu bapa dan penjaga supaya tidak membeli mainan itu menerusi dalam talian serta memastikan anak-anak mereka tidak membelinya sama ada di premis perniagaan atau dalam talian.
-- BERNAMA